AMERIKA Syarikat tidak melihat sebarang bukti kehadiran tentera sekutu rapat Rusia, Belarus di Ukraine, kata Pentagon semalam.
“Kami tidak nampak sebarang petunjuk yang tentera Belarus bergerak di dalam Ukraine,” kata jurucakap Pentagon John Kirby kepada wartawan.
“Kami tidak mengesan sebarang penglibatan ketara tentera Belarus,” kata Kirby.
“Ini tidak bermakna ia tidak boleh atau tidak akan berlaku.”
Jurucakap Pentagon berkata AS mengambil tahu kenyataan Presiden Belarus Alexander Lukashenko yang tentera negaranya akan “mempertahankan tentera Rusia sekiranya mereka diserang.”
“Ini kali pertama beliau berkata demikian tentang kemungkinan penglibatan Belarus,” kata Kirby, tetapi “tidak ada petunjuk semasa yang mereka sedang atau sudah bergerak.”
Seorang pegawai kanan pertahanan AS semalam berkata tentera Rusia menembak lebih 80 peluru berpandu ke Ukraine dari Belarus.
Ia mewakili sekitar 10% daripada lebih 800 peluru berpandu ditembak ke Ukraine sejak pencerobohan bermula, kata pegawai.
Tentera Rusia menembak hampir 400 peluru berpandu dari dalam Ukraine tetapi jumlah peluru berpandu ditembak dari Rusia kurang separuh daripada jumlah itu, kata pegawai itu lagi. – AFP, 12 Mac, 2022.
Komen