YouTube sekat media negara Rusia di seluruh dunia


YouTube menyekat serta merta semua media dikaitkan dengan kerajaan Rusia dan kandungan menafikan pencerobohan negara itu ke atas Ukraine. – Gambar AFP, 12 Mac, 2022.

YOUTUBE semalam memperluas sekatan saluran media dikaitkan dengan kerajaan Rusia ke peringkat global.

Sekatan itu sebelum ini hanya dikenakan di Eropah selepas Moscow menceroboh Ukraine.

Rusia yang dikecam masyarakat antarabangsa kerana tindakan itu berdepan pelbagai sekatan tidak pernah dilakukan sebelum ini oleh kerajaan dan perniagaan Barat termasuk gergasi teknologi AS.

Garis panduan dikeluarkan YouTube “melarang kandung menafikan, memperkecil dan melekehkan kejadian ganas yang dilaporkan, dan kami memadamkan kandungan tentang pencerobohan Rusia di Ukraine yang melanggar polisi ini,” kata platform perkongsian video itu.

“Selaras dengan itu, berkuatkuasa serta merta, kami juga menyekat saluran YouTube dikaitkan dengan media ditaja kerajaan Rusia di seluruh dunia,” tambahnya.

Kandungan disekat oleh YouTube termasuk penafian pencerobohan dan dakwaan ia adalah operasi keamanan, kata syarikat.

Syarikat induk YouTube-Google- sudah menghentikan iklan di saluran dan rangkaian milik Google seluruh dunia daripada pengiklan berpengkalan di Rusia.

Rusia membataskan akses ke Instagram pada Jumaat dan melancarkan pendakwaan kes jenayah ke atas pemiliknya, Meta, dalam usaha Moscow melawan balik gergasi teknologi dunia yang didakwanya membenarkan catatan mendesak kekerasan dikenakan ke atas tentera Rusia. – AFP, 12 Mac, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen