Datuk bandar di Ukraine diculik tentera Rusia


Seorang datuk bandar di selatan Ukraine diculik tentera Rusia. – Gambar AFP, 12 Mac, 2022.

DATUK bandar Melitopol di selatan Ukraine diculik pada Jumaat oleh tentera Rusia yang menakluk bandar itu, kata Presiden Volodymyr Zelensky dan pegawai Ukraine.

“Sekumpulan 10 penceroboh menculik Datuk Bandar Melitopol Ivan Fedorov,” tulis Parlimen Ukraine di Twitter.

“Beliau enggan bekerjasama dengan musuh,” tambah ciapan itu.

Dikatakan yang datuk bandar itu diculik ketika berada di pusat krisis menguruskan isu pembekalan.

Dalam mesej video disiarkan lewat malam Jumaat, Zelensky mengesahkan penculikan itu, menyifatkan Fedorov sebagai “seorang datuk bandar yang berani mempertahankan Ukraine dan ahli komunitinya.”

“Ini jelas sekali petanda kelemahan penceroboh…Mereka sudah memasuki tahap keganasan terkini dengan cuba menghapuskan kewujudan perwakilan sah pihak berkuasa tempatan Ukraine,” katanya.

“Penangkapan datuk bandar Melitopol bukan sahaja satu jenayah kepadanya, ia juga jenayah kepada komuniti, dan Ukraine. Ia adalah jenayah ke atas demokrasi, tindakan penceroboh Rusia ini boleh disamakan seperti pengganas Negara Islam,” katanya.

Menurut Parlimen Ukraine, seorang lagi pegawai kerajaan, timbalan ketua majlis wilayah Zaporizhzhia—120 kilometer utara Melitopol- juga diculik tetapi dibebaskan beberapa hari lepas.

Sebelum pencerobohan Rusia, Melitopol mempunyai lebih 150,000 orang penduduk. – AFP, 12 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen