47 kanak-kanak Yaman maut dalam tempoh 2 bulan


Unicef berkata sekurang-kurangnya lebih 10,000 kanak-kanak di bawah umur terbunuh atau cedera dalam perang Yaman yang tercetus sejak 2015. – Gambar EPA, 12 Mac, 2022.

SEBANYAK 47 kanak-kanak “dibunuh atau cacat” dalam perang saudara Yaman pada Januari dan Februari berikutan lonjakan keganasan, kata dana kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Sabtu.

Kanak-kanak adalah “yang pertama dan paling menderita”, kata Unicef, sambil menambah sejumlah sekurang-kurangnya lebih 10,000 kanak-kanak di bawah umur terbunuh atau cedera dalam perang yang tercetus sejak 2015.

“Hanya dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, 47 kanak-kanak dilaporkan terbunuh atau cacat di beberapa lokasi di seluruh Yaman,” Philippe Duamelle, wakil Unicef ke Yaman, berkata dalam satu kenyataan.

“Sejak konflik meningkat di Yaman hampir tujuh tahun lalu, PBB mengesahkan lebih 10,200 kanak-kanak terbunuh atau cedera. Jumlah sebenar mungkin lebih tinggi.”

Dalam perang Ukraine, sekurang-kurangnya 71 kanak-kanak terbunuh dan lebih 100 cedera dalam tempoh dua minggu sejak pencerobohan Rusia pada 24 Februari, kata seorang pegawai Parlimen Ukraine pada Khamis.

Ratusan ribu orang terkorban sebagai akibat langsung atau tidak langsung daripada perang Yaman antara pemberontak Huthi yang disokong Iran dan pasukan kerajaan yang disokong oleh pakatan tentera diketuai Arab Saudi.

Pada November, Program Pembangunan PBB berkata 377,000 nyawa akan terkorban akibat pertempuran, kelaparan, air tidak bersih dan penyakit menjelang akhir 2021.

“Keganasan, kesengsaraan dan kesedihan menjadi perkara biasa di Yaman dengan akibat yang teruk ke atas jutaan kanak-kanak dan keluarga,” kata Duamelle.

“Sudah tiba masanya penyelesaian politik yang mampan dicapai untuk rakyat dan anak-anak untuk hidup dalam keamanan yang sepatutnya mereka perolehi.”

Konflik itu menyebabkan keruntuhan dalam perkhidmatan asas seperti penjagaan kesihatan dan pendidikan, dengan jutaan orang hilang tempat tinggal dan 80% penduduk bergantung kepada bantuan.

Lebih 2,500 sekolah tidak boleh digunakan, menurut Unicef, kerana ia dimusnahkan, ditukar untuk tujuan ketenteraan, atau digunakan bagi melindungi mereka yang dipindahkan.

Laporan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan PBB pada Januari mengatakan hampir 2,000 kanak-kanak yang direkrut oleh pemberontak maut di medan perang antara Januari 2020 dan Mei 2021. – AFP, 12 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen