Pencarian budak perempuan suku Jahai hilang dihentikan


Raevathi Supramaniam

Kamiliah Anab,9, hilang sejak 13 Januari lalu dan semua operasi mencari dan menyelamat gagal menemukan sebarang jejak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mac, 2022.

PENCARIAN budak perempuan suku Jahai berusia sembilan tahun Kamiliah Anab yang hilang dari Perkampungan Sealor, Gerik, Perak, telah ditamatkan.

Sudah dua bulan sejak Kamiliah-atau nama manjanya Ayeng- hilang di Hutan Simpan Kekal Temenggor ketika mencari rotan.

Keluarganya memberitahu The Malaysian Insight yang mereka menghentikan pencarian kerana sudah tidak ada makanan kerana tidak bekerja.

“Kami berhenti mencari pada Februari,” kata Pakcik Ayeng, Langan Ateng.

“Dah berbulan (dia hilang). Disebabkan kami sibuk cari dia berminggu lamanya, kami abaikan kerja dan makanan pun berkurangan.

“Jadi kami buat keputusan untuk hentikannya. Kami perlu bekerja untuk hidup, kami ada keluarga untuk disara.”

Ibu bapa Ayeng masih terkesan dengan kehilangannya, tetapi mereka juga sudah mula meneruskan kehidupan yang tergendala disebabkan tragedi itu.

“Ayahnya dah kembali bekerja. Dia sedih dan tak berapa bersemangat.”

Selepas pihak berkuasa menghentikan misi mencari, penduduk kampung berpakat sendiri sesama mereka untuk mencari Kamiliah Anab atau Ayeng yang hilang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mac, 2022.

Sentimen Langan Ateng juga disuarakan tok batin kampung itu sebelum ini.

Asok, 47, tok batin sebelum ini berkata orang kampung menangguhkan kerja mereka untuk mencari Ayeng.

Memandangkan suku itu tidak mempunyai sumber pendapatan sepanjang sekatan pergerakan Covid-19, kehilangan Ayeng menyukarkan lagi kehidupan mereka.

Ayeng hilang sejak 13 Januari lalu. Dia kali terakhir dilihat memakai baju berwarna kuning dan berseluar warna oren serta berbeg sandang.

Pasukan mencari dan menyelamat polis, bomba, Unit Pengesan Orang Asli Polis Senoi Praaq, World Wildlife Foundation (WWF) dan Jabatan Kebajikan Orang Asli (Jakoa) memulakan operasi mencarinya selama enam hari bermula 14 hingga 19 Januari tetapi gagal menemui sebarang jejak Ayeng.

Kawasan hutan Ayeng dipercayai hilang adalah hutan tebal dan menjadi habitat pelbagai haiwan liar seperti harimau, gajah dan beruang.

Selepas pasukan mencari menghentikan operasi mereka, penduduk kampung berusaha mencari Ayeng sendiri.

Kasim Anab masih mengharapkan sebarang berita tentang anak gadis suntinya, Kamiliah Anab atau Ayeng yang hilang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mac, 2022.

Polis Gerik berkata setakat ini tidak ada perkembangan terkini dalam kes kehilangan itu.

Langan Ateng berkata walaupun mereka sudah menghentikan pencarian, kehilangan Ayeng masih menghantui mereka.

“Saya tak tahu samada dia masih hidup atau tidak. Tidak ada mayat atau petunjuk dia dah tak ada, petunjuk dia masih hidup juga tidak ada.

“Tidak ada sebarang bukti langsung,” katanya.

Harapan terakhir pencarian diletakkan kepada seorang sami Buddha yang sedang berkampung di dalam hutan.

“Dia bermeditasi setiap hari. Dia harapan terakhir kami mengesan Ayeng.”

Sebelum ini penduduk kampung juga menggunakan khidmat bomoh untuk mengesan Ayeng. – 12 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen