AS sekat syarikat Rusia kerana sokong program senjata Korea Utara


Korea Utara melakukan banyak pelancaran peluru berpandu sejak awal tahun ini, dengan mendakwa dua ujian terbaru adalah untuk pembangunan satelit. – Gambar EPA, 12 Mac, 2022.

AMERIKA Syarikat (AS) semalam mengenakan sekatan terhadap dua individu Rusia dan tiga entiti kerana sokongan mereka terhadap program senjata Korea Utara, kata Jabatan Perbendaharaan.

Langkah itu dibuat sehari selepas Pentagon menerbitkan penilaian perisikan yang dua pelancaran peluru berpandu Korea Utara baru-baru ini adalah ujian untuk sistem peluru berpandu balistik antara benua yang baharu.

Sekatan itu menyasarkan “rangkaian individu dan entiti berpangkalan di Rusia yang terlibat dalam membantu (Korea Utara) mendapatkan komponen bagi sistem peluru berpandu balistik yang menyalahi undang-undang,” kata setiausaha perbendaharaan untuk risikan keganasan dan kewangan, Brian Nelson, dalam satu kenyataan.

“Kebanyakan aktiviti ini juga melanggar larangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berhubung dengan DPRK,” tambah kenyataan itu, merujuk kepada nama rasmi Korea Utara, Republik Rakyat Demokratik Korea.

Korea Utara melakukan banyak pelancaran peluru berpandu sejak awal tahun ini, dengan mendakwa dua ujian terbaru adalah untuk pembangunan satelit.

Seorang pegawai AS berkata pelancaran pada 26 Februari dan 4 Mac menandakan “peningkatan yang serius.”

“DPRK terus melancarkan peluru berpandu balistik secara terang-terangan melanggar undang-undang antarabangsa, menimbulkan ancaman besar kepada keselamatan global,” kata Nelson dalam kenyataan perbendaharaan.

Washington dan sekutu Eropah di Majlis Keselamatan PBB gagal pada Isnin untuk meyakinkan China dan Rusia agar menyokong pelanggaran resolusi Korea Utara mengenai teknologi peluru berpandu.

Walaupun sekatan antarabangsa terhadap senjata nuklearnya, Pyongyang mengabaikan tawaran rundingan AS sejak rundingan berprofil tinggi antara pemimpin Kim Jong-un dan presiden AS Donald Trump ketika itu gagal pada 2019.

Pyongyang menggandakan hasrat Kim memodenkan tenteranya, memberi amaran pada Januari ia mungkin meninggalkan moratorium yang dikenakan sendiri untuk menguji peluru berpandu jarak jauh dan senjata nuklear. – AFP, 12 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen