TENTERA India secara tidak sengaja melepaskan peluru berpandu ke negara jiran Pakistan, kata kementerian pertahanan New Delhi pada Jumaat, menyifatkan ia “amat dikesali”.
India yang majoriti penduduknya beragama Hindu dan Pakistan berperang tiga kali sejak merdeka daripada penjajahan British pada 1947, dua daripadanya berkaitan wilayah Kashmir yang menjadi pertikaian.
“Ketika penyelenggaraan rutin, kerosakan teknikal menyebabkan peluru berpandu ditembak secara tidak sengaja” pada Rabu, kata kementerian pertahanan India.
Tidak menyatakan jenis peluru berpandu terlibat, ia mendarat “di kawasan Pakistan”.
Insiden itu amat dikesali, katanya sambil menambah lega kejadian berkenaan tidak melibatkan sebarang kehilangan nyawa.
Kementerian pertahanan enggan memberikan maklumat lanjut kepada AFP.
Kenyataan itu dikeluarkan beberapa jam selepas kementerian luar Islamabad mengecam apa yang disebutnya sebagai “pencabulan tanpa provokasi terhadap ruang udaranya oleh ‘objek terbang super-sonik’ dari India”.
Wakil kedutaan India di Islamabad dipanggil ke pejabat asing bagi bantahan keras terhadap perkara itu, tambahnya.
Katanya, kejadian itu merosakkan harta benda dan membahayakan nyawa orang awam dan pesawat di ruang udara Pakistan, sambil menuduh India tidak ambil berat mengenai keamanan dan kestabilan serantau.
New Delhi mempunyai lebih 500,000 tentera ditempatkan di Kashmir yang dikuasai India, dengan kumpulan pemberontak berjuang selama beberapa dekad untuk kemerdekaan wilayah itu atau penggabungannya dengan Pakistan.
New Delhi menuduh Islamabad menyokong puak pemberontak itu.
Pesawat India mengebom kem latihan pengganas di Pakistan pada 2019 selepas insiden bom bunuh diri oleh kumpulan militan berpangkalan di Pakistan yang membunuh 40 tentera India.
Dalam pertempuran udara di Kashmir pada hari berikutnya, sekurang-kurangnya sebuah jet India ditembak jatuh dan juruterbangnya ditangkap oleh Pakistan, tetapi Perdana Menteri Pakistan Imran Khan membebaskannya sebagai tanda keamanan. – AFP, 12 Mac, 2022.
Komen