PRN Johor tentukan corak PRU15


The Malaysian Insight

PRN Johor dilihat penting kerana jika BN menang, ia dapat beri tekanan kepada kerajaan pusat untuk percepatkan tarikh PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mac, 2022.

LEBIH 2.53 juta rakyat Johor akan membuang undi hari ini bagi memilih kerajaan negeri yang akan berkhidmat kepada mereka untuk lima tahun akan datang.

Sebanyak 60,000 sudah membuang undi lebih awal, termasuk pengundi pos.

Selain memilih kerajaan negeri baharu, pilihan raya kali ini dilihat penting kerana jika Barisan Nasional (BN) menang, ia dapat beri tekanan kepada kerajaan pusat untuk percepatkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berbanding tarikh akhir Julai 2023.

Ia juga akan membuktikan kepada Perikatan Nasional (PN), sejauh mana BN dapat menarik undi Melayu.

Malah terdapat juga kebimbangan pilihan raya negeri (PRN) ini bermakna kembalinya bekas perdana menteri Najib Razak, yang disabitkan rasuah dan dijatuhi hukuman oleh mahkamah dalam satu daripada beberapa perbicaraan berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Tidak tergugat dengan sabitannya yang sedang menunggu rayuan, Najib, walaupun bukan calon, bergerak ke merata tempat di Johor bagi membantu kempen BN, malah beliau dilihat masih popular di beberapa kawasan.

PRN Johor juga berdepan beberapa perkembangan baharu yang akan mengubah padang permainan dalam PRU15 nanti.

Antaranya:

Pengundi muda dan baharu

Pelaksanaan Undi18 yang menurunkan usia mengundi kepada 18 tahun menarik tumpuan orang ramai yang mahu lihat bagaimana mereka yang berumur 18 hingga 21 tahun ini akan mengundi, atau adakah mereka akan mengundi sama sekali dalam PRN keempat negara sejak PRU 2018.

Ditambah dengan pendaftaran pemilih automatik, Johor mempunyai kira-kira 748,000 pengundi baharu. Kehadiran mereka akan menunjukkan minat mereka terhadap pilihan raya ini dan menentukan nasib parti yang bertanding.

Suruhanjaya Pilihan Raya menjangkakan peratusan keluar mengundi 70% susulan pilihan raya Melaka dan Sarawak tahun lepas masing-masing menarik 65.85% dan 60.67% pengundi. Pada 2018, peratusan keluar mengundi di Johor pada 74.5% atau 1.33 juta.

Isu kestabilan

Walaupun kerana tindakannya sendiri membuat kucar kacir dan menyebabkan perubahan kerajaan persekutuan serta beberapa kerajaan negeri pada 2020, BN bagaimanapun mempamerkan naratif kestabilan dalam PRN Johor.

Undi BN untuk stabilkan politik dan ekonomi Johor akan bangkit, begitulah mantra gabungan itu.

Bagi PN, parti itu bergantung pada imej bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin dengan keputusan populisnya seperti pemberian wang tunai semasa berkuasa, dan betapa tidak perlunya pilihan raya Johor.

Di pihak Pakatan Harapan, gabungan PKR, DAP dan Amanah mengharapkan mesej 2018 mereka tentang rasuah BN akan membuahkan hasil sekali lagi.

Parti yang lebih kecil seperti Muda dan Pejuang pula menumpukan kepada isu belia dan ideologi selain berharap calon mereka cukup baik.

Parti baharu, ramai calon

Walaupun terdapat banyak parti dan calon baharu yang bersaing untuk merebut 56 kerusi DUN Johor hari ini, namun 239 calon Johor daripada 15 parti bukanlah satu rekod baharu.

Sabah masih memegang rekod sebagai calon paling ramai iaitu 447 daripada 20 parti. Tetapi PRN Sabah pada 2020 itu untuk 73 kerusi. Begitu juga Sarawak menyaksikan 349 calon daripada 13 parti berebut tempat di 82 kerusi DUN tahun lepas.

Apa yang Johor akan tunjukkan, bagaimanapun, adalah sama ada nama penaung besar di belakang parti masih menarik minat pengundi, atau jika rakyat melihat pada tindakan dan keputusan selain personaliti.

Ini akan memberi impak kepada Pejuang, yang diasaskan dan diketuai oleh Dr Mahathir Mohamad selain Warisan yang diketuai Mohd Shafie Apdal, serta kegemaran warganet, parti Muda yang diketuai oleh Syed Saddiq Abdul Rahman.

Bagi pengundian hari ini, prosedur operasi standard pilihan raya bagi membendung penularan pandemik Covid-19 menyarankan pengundi menyemak melalui aplikasi MySPR bagi mengetahui tempat mengundi dan waktu mengundi yang disyorkan supaya dapat elak kesesakan. – 12 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen