PENJAJA Petaling Street di tengah ibu negara bergelut dengan kesan Covid-19, dengan ada yang sekadar cukup-cukup makan sahaja untuk beberapa mendatang.
Kawasan ini banyak bergantung kepada pelawat asing. Dengan sempadan ditutup selama dua tahun, keuntungan menjunam dan peniaga hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Peniaga berharap keadaan akan berubah sebaik sahaja sempadan negara dibuka kepada pengembara antarabangsa pada 1 April, dan sehingga itu, perlu berdepan dengan penurunan pendapatan daripada pelanggan tempatan.
Ramai yang memendekkan waktu operasi mereka, tidak ada gunanya untuk terus buka sepanjang hari.
Penjaja mi Lee Swee Siong berkata perniagaan daripada penduduk tempatan terbaik pada hujung minggu, apabila dia mendapat cukup makanan dan keperluan untuknya pada minggu seterusnya.
Lee pada asalnya menjalankan gerainya di dalam medan selera. Tetapi dia berpindah untuk beroperasi dari gerai tepi jalan selepas perniagaan medan selera itu merosot akibat penutupan Covid-19.
“Apabila orang tiada, tiada siapa akan pergi ke medan selera.
“Sekurang-kurangnya di tepi jalan, pelanggan nampak kami dan mungkin mahu membeli makanan itu.
“Tetapi, perniagaan masih sangat lemah. Cuma hujung minggu saya boleh dapat wang yang cukup untuk beli makanan dan pakaian.”
Pada pagi hari bekerja, Lee bergantung pada pekerja pejabat di kawasan itu.
Dia menutup kedai pada sebelah petang, kerana selepas itu hanya penjual pakaian, beg dan jam tangan sahaja yang masih buka.
“Saya tertekan dengan keadaan itu. Saya tidak tahu apa yang perlu saya buat selain teruskan.”
Lee berkata dia tidak pernah terfikir untuk berpindah kerana dia tidak tahu kerja atau tempat lain untuk pergi. Dia telah menjual makanan di Petaling Street sejak 40 tahun.
Dengan sempadan dibuka semula tidak lama lagi, dia berharap pelancong akan membantu kembalikan kesibukan di Petaling Street.
Awal minggu ini, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata Malaysia akan mula beralih kepada fasa peralihan endemik bermula 1 April ini termasuk membenarkan pelancong antarabangsa masuk ke negara ini buat kali pertama sejak dua tahun.
Kuarantin tidak diperlukan, dengan syarat pengembara telah divaksin sepenuhnya atau telah dapat dos penggalak, selain mereka masih tertakluk pada ujian sebelum berlepas dan ketibaan.
Sambil menantikan 1 April, Lee berkata dia juga berhati-hati kerana varian Omicron masih menular.
Pemilik gerai apam balik, Ho Ah Long berkata perniagaannya pulih selepas sekatan ditarik balik dan dipertingkatkan semasa Tahun Baharu Cina bulan lepas, namun gelombang Omicron melanda dan pelanggan serta-merta tidak datang.

“Apabila Omicron melanda, perniagaan serta-merta merosot sebanyak 50%,” kata Ho, yang bekerja di Petaling Street sejak 30 tahun.
Dia pernah membuka gerainya dari pukul 11 pagi hingga 10 malam, tetapi kini dibuka dari jam 10 pagi hingga 5 petang sahaja.
“Hampir tiada pelanggan. Lebih baik tutup kedai dan pulang awal untuk berehat.”
Sementara itu, Chong Yoke Yan, dari restoran nasi ladu Ho Yoke Kee yang sudah lama ditubuhkan, berkata jualan meningkat secara beransur-ansur.
“Perniagaan tahun ini pulih sebanyak 20% hingga 30% berbanding volum sebelumnya kerana kami melanjutkan perkhidmatan kami dengan menyediakan pilihan dalam talian.
“Saya terpaksa menyesuaikan diri kerana PKP,” katanya.
Ho Yoke Kee beroperasi di luar Petaling Street selama 81 tahun. Ia adalah tempat makanan popular untuk penduduk tempatan dan warga asing, terutamanya warga Singapura.
Walaupun tanpa pelancong, restoran ini dapat terus bertahan kerana sokongan penduduk tempatan.
Bagaimanapun, Chong turut memendekkan waktu operasi restoran memandangkan Petaling Street kebanyakannya lengang pada sebelah petang.
“Dulu kami buka sehingga pukul 9 malam, sekarang pada pukul 12 tengah hari atau 1 tengah hari, kami sudah berkemas kerana tiada pelanggan.”
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, yang mengumumkan pada 6 Februari bahawa Malaysia memasuki gelombang Omicron, berkata jangkitan yang disebabkan oleh varian baharu itu akan mengambil masa kira-kira dua bulan sebelum ia reda.
Malaysia melaporkan sekitar 30,000 jangkitan baharu dalam beberapa minggu kebelakangan ini. – 12 Mac, 2022.
Komen