Kepercayaan Bangsa Johor milik siapa akhirnya?


Izmil Amri

AYAH PIN dan kerajaan langitnya dahulu mempunyai gerombolan pengikut yang ramai. Bukan sahaja sejumlah besar orang Melayu Islam di Besut, bahkan ada penganut Hindu yang meyakini ajarannya; hatta kakinya pun dicuci seakan seorang dewa.

Begitu juga halnya dengan Kahar Ahmad si “Rasul Melayu” yang meski telah dihukum penjara 10 tahun pada Oktober 2009, masih lagi punya pengikut yang percaya kepadanya. Kahar ditangkap lagi pada September 2020. Pengikutnya pula ada yang berusia semuda 14 tahun.

Tak perlu lebih jauh, hanya tahun lalu ada seorang wanita mendakwa dirinya mampu berkomunikasi dengan Tuhan, Nabi dan para malaikat.

Masitah mendakwa ia diberikan “mimpi perjalanan terakhir” sebagai panduan buat umat manusia, selain berupaya membuat ramalan kononnya akan berlaku Perang Dunia Ketiga bermula di Sabah. Malah dengan penuh yakin mendakwa ia akan memimpin pasukan buat mencari Imam Mahdi. Si Masitah ini juga ada orang yang percaya.

Cerita sotong diperbuat daripada “dubur” babi pun ada orang percaya. Dakwaan DNA babi dalam coklat pun ada orang percaya. Vaksin ada mikrocip untuk mudahkan pelaksanaan internet 5G pun ada yang percaya. Teori bumi datar pun ada yang percaya, meski demikian banyak bukti yang menunjukkan sebaliknya.

Manusia memang mudah percaya benda yang dia tidak tahu hujung pangkalnya, terutama sekali apabila yang memberikan penerangan itu orang yang kelihatan tinggi sekali keyakinannya.

Justeru apabila Barisan Nasional menghidangkan kepada kita video temuramah “orang kampung” tentang pendapat mereka terhadap mantan perdana menteri merangkap suami Rosmah Mansor; kita tidak perlu jenuh fikir kenapa masih ada segerombolan orang yang yakin betul dengan cerita si Najib Razak itu.

Bukanlah saya mendakwa “orang kampung” itu tidak bijak. Jauh sekali. Tetapi manusia tidak kebal daripada mudah percaya. Apatah lagi jika motivasi untuk percaya itu diiringi sentimen kekuasaan dan wang ringgit. Mustahil sang pemimpin yang begitu baik hati membantu kita semua akan berbohong dan memutar belit cerita dia didapati bersalah di mahkamah, kan?

Lagikan cinta pun boleh dicurangi. Inikan pula permainan politik penuh tipu daya.

Permainan daulah

Hari ini, rakyat negeri Johor akan keluar mengundi. Keputusan untuk memangkah siapa dan logo mana sudah mereka buat lama dahulu. Tidak ada barang sesuatu pun yang dilakukan parti-parti politik dalam tempoh kempen sepanjang dua minggu lalu akan mengubah pendirian mereka.

Rakyat biasa, yang pastinya tidak merasa hidup mereka berubah meski siapa pun yang bergelar YB; sudah sangat tidak peduli dengan politik. Mereka tahu realitinya ialah selagi mana politik itu ditentukan golongan yang tidak mereka undi, tiada apa yang akan berubah.

Rakyat biasa tahu tentang “daulah terpendam”, meski mereka tidak memanggilnya dengan nama itu.

Mereka tahu bahawa golongan yang kekal mendapat laba tidak kira siapa pun yang menjadi wakil rakyat adalah golongan yang tidak boleh disentuh dan kekal mencatur siapa dapat apa, banyak mana dan bagaimana mereka mendapatkanya. 

Mereka tahu penjawat awam korup wujud dalam bilangan yang besar di tengah ramai penjawat awam yang baik-baik. 

Mereka tahu orang berniaga yang bermain untung berbilion ringgit juga sentiasa ada, dan berusaha mendampingi sesiapa sahaja yang nanti bergelar YB.

“Daulah terpendam” inilah yang tidak akan pernah berganti, biar siapa pun yang jadi perdana menteri.

Kalau Najib Razak dan gerombolan United Malays National Organisation yang kembali, si daulah terpendam ini akan lebih-lebih lagi suka hati. Senanglah mereka berniaga dan berjual beli apa sahaja, seperti waktu sebelumnya. Sebelum Pakatan Harapan menggugat periuk nasi mereka.

Kerana inilah mereka melaungkan slogan stabiliti. Sedangkan stabiliti sebenar yang mereka mahukan adalah seperti duduk di kerusi besi yang mempunyai lima kaki. Digoyang tiada bergerak, dilanggar tiada kerusi itu mengaduh sakit. Bahkan kita lah yang meraung dan menunduk patuh.

Stabiliti ini yang dimahukan Umno dan “daulah terpendam” tadi. Supaya duduknya tiada digugat-gugat.

Rakyat tahu hal ini. Percayalah. Tetapi apa pilihan lain yang rakyat ada?

Tahu malu

Sebenarnya Bangsa Johor perlu memilih antara siapa yang tahu malu, dengan siapa yang langsung tidak mempunyai sifat itu. Ini mudah sahaja, kan?

Masalahnya kebatilan yang tersusun boleh menewaskan kebenaran yang kacau bilau. PKR guna logo sendiri, DAP dan Amanah berkempen di kerusi Muda, Muda pula tidak begitu kelihatan berkempen menarik undi anak muda di kerusi-kerusi DAP dan Amanah. Bilik gerakan utama pun tak ada, pengurusan media bersepah. Pengundi pun menyampah.

Rata-rata wartawan yang turun membuat liputan kempen di Johor memberikan bacaan yang serupa. Kerana mereka ikut merakam reaksi orang ramai, jauh selepas pasukan kempen meninggalkan pengundi.

Bacaan mereka menunjukkan bagaimana pengundi sudah hilang percaya terhadap PH, dan kepercayaan itu belum tentu boleh dipulihkan lagi. Sambutan orang ramai mungkin dianggap baik, dengan kadar melawan sekadar kurang 10 peratus (satu daripada setiap sepuluh pengundi yang ditemui semasa merayu undi akan mencebik, menghalau atau mengajak bertekak). 

Namun ini Johor, rakyatnya baik budi dan bersopan santun. Kalau pun ia tidak suka, ia diam-diam sahaja.

Sama halnya dengan Najib Razak. Najib tidak bertanding, tetapi kempennya begitu gigih sekali. Orang ramai turut seronok mahu bergambar. Tetapi bukan semuanya itu kerana suka. Cipan dilanggar lori tepi jalan pun ramai orang mahu ambil gambar. 

Najib sebagai seorang yang tidak tahu malu, tentunya tidak tahu beza siapa yang suka dan siapa pula yang meluat.

Inilah dia realiti politik hari ini. Sukar sekali untuk kita membaca siapakah yang lebih disukai, dan apa sebab pula pihak yang lain itu dibenci.

Namun apa yang pasti ialah sekiranya Umno-BN menang besar malam ini, rakyat Malaysia akan diheret berdepan dengan pilihan raya lagi. Seawal Julai, kata cerdik pandai politik negara.

Dan demikianlah rasa percaya terhadap demokrasi itu dicairkan dengan rasa lesu semahu-mahunya. Supaya yang keluar mengundi hanyalah juak-juak penyokong mereka. Dan demikianlah mereka kembali stabil. Tak kerja pun boleh kaya.

Awak yang kena tipu tu yang masih tersangkut di luar bandar, berdepan harga barang melambung dan kuasa yang bertukar tangan setahun sekali barangkali. 

Padanlah muka kita semua. – 12 Mac, 2022.

* Izmil Amri, berasal dari Pulau Pinang dan sering gagal dalam banyak hal. Kini seorang pemerhati politik yang sedang cuba untuk kurangkan makan nasi kandar. Berkicau di @The_Mamu


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen