Letupan bom masjid di Libya bunuh seorang, 62 cedera


Letupan berlaku ketika solat Jumaat di Benghazi, bandar kedua terbesar Libya. Bandar itu kini adalah kubu kuat Khalifa Haftar yang menentang kerajaan perpaduan di Tripoli disokong PBB. – Gambar AFP, 9 Februari, 2018.

DUA serangan bom berlaku di sebuah masjid di Benghazi di timur Libya hari ini, membunuh seorang dan menyebabkan lebih 62 cedera, kata hospital utama bandar itu.

Letupan itu berlaku di sebuah masjid pada awal solat Jumaat di bandar kedua terbesar Libya itu, kata sumber keselamatan kepada AFP.

Bom pertama diletakkan di dalam sebuah keranda di laman masjid, dan bom kedua dalam kabinet kasut di pintu masuk masjid, kata sumber itu lagi.

Sekurang-kurangnya seorang terbunuh dan 62 cedera, menurut jurucakap Hospital Al-Jala, Fadia al-Barghathi.

Letupan itu yang terbaru selepas letupan dua kereta pada 24 Januari di luar sebuah masjid di Benghazi yang menyebabkan 40 orang terbunuh.

Tiada pihak bertanggungjawab ke atas letupan di kawasan itu yang merupakan kubu kuat ketua puak Khalifa Haftar.

Haftar menentang kerajaan perpaduan disokong PBB di Tripoli mengumumkan “pembebasan” Benghazi daripada militan pada Julai selepas tiga tahun peperangan, tetapi sehingga kini keganasan masih terus berlaku.

Libya terheret ke dalam keganasan dan perpecahan sejak diktator Moamer Kadhafi digulingkan dan dibunuh dalam pemberontakan disokong Nato pada 2011.

Pada 11 September 2012, militan disyaki mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda menyerang kedutaan AS di Benghazi membunuh duta Christopher Stevens dan tiga lagi rakyat Amerika. – AFP, 9 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen