Jepun akan beku aset 3 bank Belarus


Sekatan terbaharu Tokyo ke atas Belarus berkuat kuasa 10 April, dibuat ketika Jepun dan rakan G7 menekan Moscow dengan beberapa siri kekangan terhadap institusi kewangan dan eksport susulan serangan Rusia ke atas Ukraine. – Gambar EPA, 11 Mac, 2022.

JEPUN akan membekukan aset tiga bank Belarus, kata kerajaan pada Khamis, beberapa hari selepas negara Kesatuan Eropah (EU) bersetuju untuk memperketat sekatan ke atas Minsk berikutan sokongannya terhadap pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Kerajaan Jepun juga mengumumkan derma kemanusiaan AS$100 juta kepada Ukraine dan negara jirannya bagi membantu rakyat Ukraine melarikan diri dari perang.

Sekatan terbaharu Tokyo ke atas Belarus, yang akan dikenakan mulai 10 April, dibuat ketika Jepun bertindak dengan rakan G7 untuk menekan Moscow dengan beberapa siri kekangan terhadap institusi kewangan dan eksport termasuk semikonduktor.

Jepun sebelum ini mengumumkan sekatan ke atas Presiden Belarus Alexander Lukashenko.

Awal minggu ini, Kesatuan Eropah memberi kebenaran untuk membatalkan tiga bank Belarusia daripada sistem SWIFT global berhubung penglibatan negara itu dalam serangan Kremlin.

Tiga bank yang akan dikenakan sekatan dalam pembekuan aset Jepun ialah Belagroprombank, Bank Dabrabyt, dan Bank Pembangunan Republik Belarus, kata kementerian luar.

Kementerian itu berkata Jepun akan menghantar AS$100 juta ke Ukraine, Poland, Hungary, Moldova, Slovakia dan Romania melalui pelbagai organisasi antarabangsa, sebagai tindak balas terhadap “keperluan mendesak” seperti kesihatan, tempat tinggal dan perlindungan kanak-kanak.

Pengumuman itu dibuat ketika Kongres Amerika Syarikat meluluskan rang undang-undang perbelanjaan 2022, termasuk hampir AS$14 bilion bantuan kemanusiaan dan ketenteraan kepada Ukraine yang dilanda perang. – AFP, 11 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen