PENCARI suaka pelarian di Greek mengalami keganasan dan serangan seksual secara berleluasa di pusat penempatan padat di negara itu, kata PBB hari ini.
Pada 2017, agensi pelarian PBB (Unhcr) menerima laporan daripada 622 mangsa keganasan seksual berasaskan gender di kepulauan Greek, hampir satu pertiga mengatakan mereka diserang setibanya di Greek.
Tetapi jurucakap Unhcr Cecile Pouilly berkata terdapat keenganan untuk melaporkan keganasan itu disebabkan takut, malu dan bimbang didiskriminasi, balas dendam dan stigma.
“Jumlah sebenar kejadian berkemungkinan besar lebih tinggi berbanding yang dilaporkan,” katanya kepada wartawan di Geneva dan mengakui yang PBB hanya mempunyai “sebahagian kecil gambaran realiti di situ.”
Pouilly berkata situasi yang sangat membimbangkan itu berlaku di pusat penerimaan dan penempatan pelarian di Moira di Lesbos, dan Vathy di Samos, “di mana ribuan pelarian terus tinggal dalam pusat perlindungan tanpa perlindungan keselamatan mencukupi.”
Pusat itu buat masa sekarang melindungi sekitar 5,500 orang- dua kali ganda kemampuan sebenar pusat itu, katanya lagi. – AFP, 9 Februari, 2018.
Komen