PRESIDEN Ukraine Volodymyr Zelenskyy berkata sekitar 100,000 rakyatnya berjaya dipindahkan ke lokasi selamat sejak dua hari lepas.
“Kami memindahkan lebih 40,000 orang pada siang hari dan hampir 100,000 orang dalam masa dua hari,” kata Zelenskyy menerusi video di Telegram, sambil berkata pihaknya telah mewujudkan koridor kemanusiaan di bandar Sumy, Trostyanets, Krasnopillya, Irpin, Bucha, Hostomel dan Izyum.
Beliau turut mengarahkan penghantaran konvoi trak makanan dan ubat-ubatan ke Mariupol, meskipun tentera Russia terus menerus melepaskan tembakan.
Menafikan dakwaan tentera Ukraine siap siaga menggunakan senjata kimia, beliau berkata: “Russia cuba menutup jenayah yang dilakukannya di Ukraine dengan propaganda. Ia sangat membimbangkan.”
“Jika anda ingin mengetahui rancangan Russia, anda harus melihat tuduhan yang dilemparkan terhadap orang lain. Kami memastikan perkara ini tidak berulang kali,” Agensi Anadolu memetik Zelenskyy sebagai berkata.
Sekurang-kurangnya 549 orang awam terbunuh dan 957 lagi cedera di Ukraine sejak Russia melancarkan operasi ketenteraan, menurut angka dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Bagaimanapun, badan antarabangsa itu menegaskan bahawa situasi semasa menjadikannya “sukar untuk mengesahkan” jumlah sebenar korban.
Sementara itu, lebih 2.3 juta rakyat Ukraine melarikan diri ke negara jiran, kata agensi pelarian PBB sejak Russia menceroboh dan menyerang negara itu. – Bernama, 11 Mac, 2022.
Komen