Ukraine panggil pulang pasukan pengamannya di 5 operasi PBB


Ukraine panggil pulang kakitangannya daripada operasi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di lima lokasi. – Gambar AFP, 11 Mac, 2022.

UKRAINE memanggil pulang kakitangannya daripada operasi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di lima lokasi, kata jurucakap PBB Stephane Dujarric pada Khamis.

Parlimen Ukraine pada Isnin berkata Volodymyr Zelenskyy memutuskan untuk memanggil pulang pasukan pengaman Ukraine dari seluruh dunia bagi menghadapi serangan bersenjata Russia, lapor Sputnik.

“Kami menyatakan hasrat mereka untuk berundur dari Republik Demokratik Congo, termasuk 250 anggota tentera dan lapan helikopter.

“Kami juga menerima permintaan lanjut daripada Ukraine untuk menarik balik kakitangan yang masih berkhidmat di lima operasi pengaman lain – Mali, Cyprus, Abyei, Sudan Selatan dan Kosovo,” Dujarric memberitahu pemberita.

Permintaan terbaharu itu merangkumi 250 anggota tentera, 36 pegawai dan pakar misi, dan 22 pegawai polis, tambahnya.

Dujarric berkata mana-mana negara anggota PBB mempunyai hak menarik balik pasukan pengamannya.

“Proses menghantar mereka pulang sedang dijalankan,” katanya.

Pada 24 Februari, Russia memulakan operasi ketenteraan khas di Ukraine selepas Donetsk dan Luhansk meminta bantuan mempertahankan diri daripada serangan tentera Ukraine.

Pencerobohan Russia ke atas Ukraine bermula dengan serangan melalui darat, laut dan udara.

Negara Barat mengenakan sekatan menyeluruh ke atas Moscow sebagai tindak balas terhadap operasi ketenteraannya di Ukraine. – Bernama, 11 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen