HARI ini genap dua tahun Covid-19 diisytiharkan sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), yang menjangkiti sekurang-kurang 450 juta orang dan mengorbankan lebih enam juta nyawa serta menyebabkan banyak negara terjejas teruk.
Bagaimanapun, WHO tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya dengan menegaskan, amaran sebenar sudah dikeluarkan enam minggu lebih awal dari 11 Mac, 2020 – namun hanya segelintir yang ambil peduli dan mula bertindak ketika itu.
WHO mengisytiharkan Kecemasan Kesihatan Awam Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC) – amaran tahap tertinggi dalam peraturan kesihatan global pada 30 Januari, 2020 ketika penularan dilaporkan di luar China membabitkan kurang 100 kes dan tiada kematian.
Hanya apabila Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus mengumumkan penularan Covid-19 semakin buruk dan diisytiharkan sebagai pandemik pada 11 Mac, barulah banyak negara dilihat menyedari ancaman wabak itu.
WHO tidak menandakan ulang tahun perisytiharan itu, bahkan selepas dua tahun, masih kesal kerana kerajaan kebanyakan negara tidak mengambil peduli ketika amaran asal dikeluarkan.
“Dunia ‘dirasuk’ dengan perkataan pandemik. Amaran pada Januari jauh lebih penting berbanding pengumuman pada Mac.
“Adakah anda mahu amaran menyatakan anda baru saja lemas, atau anda mahu amaran menyatakan banjir akan melanda?” kata Pengarah Eksekutif Program Kecemasan Kesihatan WHO Michael Ryan.
Bercakap [ada sesi interaksi secara langsung melalui saluran media sosial WHO semalam beliau berkata perisytiharan PHEIC tidak diberikan perhatian langsung.
“Orang tidak dengar. Kami membunyikan loceng penggera dan orang tidak bertindak.
“Yang paling mengejutkan saya ialah kurangnya respons, kurangnya tindakan segera berhubung amaran tahap tertinggi WHO dalam undang-undang antarabangsa, sebagaimana dipersetujui kesemua negara anggota kami. Mereka bersetuju akan perkara ini!” katanya.
Menjelang 11 Mac 2020, jumlah kes Covid-19 dilaporkan di luar China meningkat berkali ganda, dengan lebih 118,000 orang dijangkiti di 114 negara dan lebih 4,000 kematian. – AFP, 11 Mac, 2022.
Komen