Kes Covid-19 di Perancis kembali meningkat


Perancis semalam melaporkan 74,818 kes baharu jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam lepas, peningkatan mendadak berbanding hari sebelumnya. – Gambar EPA, 11 Mac, 2022.

AGENSI kesihatan kebangsaan Perancis semalam melaporkan 74,818 kes baharu jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam lepas, peningkatan mendadak berbanding hari sebelumnya, lapor Xinhua.

Bagaimanapun, jumlah pesakit yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dalam tempoh itu menurun daripada 2,231 kepada 1,928.

Jumlah pesakit yang menerima rawatan di hospital juga menurun daripada 23,175 kepada 21,287 orang.

Kadar jangkitan dijangka meningkat sebanyak 50 hingga 130% berbanding bulan sebelumnya, selepas kerajaan melonggarkan sekatan Covid-19 bermula 14 Mac, menurut analisis Institut Pasteur.

Kes Covid-19 setiap hari boleh melebihi 100,000 pada Mac, tambah institut itu.

Pakar Penyakit Berjangkit Benjamin Davido di Hospital Raymond-Poincare de Garches memberitahu saluran berita Perancis BFMTV kelonggaran sekatan kesihatan akan menyumbang “kepada lonjakan kes jangkitan”.

Kerajaan Perancis mengumumkan bermula 14 Mac, rakyat tidak lagi diwajibkan untuk memakai pelitup muka di kawasan tertutup, kecuali dalam pengangkutan awam dan pusat kesihatan.

Pas vaksin juga tidak lagi diperlukan di kebanyakan tempat awam, kecuali hospital, rumah persaraan dan pusat jagaan. – Bernama, 11 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen