SEKUMPULAN lelaki bersenjata menembak mati datuk bandar di daerah barat Mexico, Michoacan dipercayai membabitkan pergaduhan antara geng kartel dadah, kata pihak berkuasa.
Di wilayah pengeluar avokado itu, pergaduhan antara kongsi gelap sering menyebabkan kehilangan nyawa, kata pendakwa raya.
Datuk Bandar Aguililla Cesar Valencia ditembak mati penyerang yang tidak dikenali, ketika menaiki kenderaan majlis perbandaran berhampiran padang bola di bandar itu, kata anggota tentera yang dikerah ke tempat kejadian.
Beliau mengalami sekurang-kurangnya dua kecederaan akibat tembakan iaitu di dada dan leher.
“Kami mengutuk pembunuhan ini,” kata Gabenor Michoacan Alfredo Ramirez Bedolla di Twitter.
“Saya arahkan siasatan dibuat dan menghukum mereka yang bertanggungjawab,” katanya.
Datuk bandar dan ahli politik peringkat tempatan di Mexico sering menjadi mangsa keganasan yang ada kaitan dengan rasuah dan perdagangan dadah membabitkan dagangan bernilai berbilion dollar.
Aguililla ialah tempat lahir Nemesio “El Mencho” Oseguera, iaitu ketua berpengaruh kartel dadah Jalisco New Generation.
Oseguera, 55, adalah antara orang paling dikehendaki di Amerika Syarikat dengan habuan AS$10 juta ditawarkan bagi sesiapa yang menangkapnya.
Kampung halamannya itu dengan populasi 14,000 penduduk antara kawasan paling teruk mengalami keganasan jenayah di Mexico.
Keadaan agak tenang di daerah itu susulan tentera dikerah berkawal di situ sejak Februari.
Sebelum ini, Aguililla ditawan dan dikepung oleh kartel, yang turut membuat kawasan periuk api di sekitarnya. – AFP, 11 Mac, 2022.
Komen