Zelensky dakwa Rusia serang koridor kemanusiaan di Mariupol


Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky ketika membuat sidang video mendakwa Rusia menyerang koridor kemanusiaan bagi memindahkan penduduk dari bandar di Ukraine.– Gambar EPA, 11 Mac, 2022.

PRESIDEN Ukraine Volodymyr Zelensky Khamis berkata kira-kira 100,000 orang telah dipindahkan bandar-bandar di negara itu dalam dua hari dan menuduh tentera Rusia menyasarkan koridor kemanusiaan di bandar Mariupol.

Zelensky berkata beliau memutuskan untuk menghantar konvoi trak ke bandar pelabuhan yang terkepung dengan makanan, air dan ubat-ubatan.

Tetapi “penceroboh melancarkan serangan kereta kebal tepat di tempat koridor ini sepatutnya”, katanya dalam satu kenyataan video, menyifatkan ia sebagai “keganasan langsung”.

Pemimpin Ukraine itu berkata, daripada kira-kira 100,000 orang yang telah meninggalkan bandar-bandar lain di Ukraine melalui koridor kemanusiaan sejak dua hari lalu, kira-kira 40,000 telah melarikan diri pada Khamis.

Ukraine menuduh Rusia melakukan serangan udara pada hari Rabu ke atas hospital bersalin di Mariupol, sebuah pelabuhan strategik di Laut Azov, menyebabkan tiga orang terbunuh, termasuk seorang gadis.

Pada Khamis, Moscow berjanji untuk membuka koridor kemanusiaan setiap hari bagi membolehkan rakyat Ukraine melarikan diri ke tanahnya, tetapi Kyiv sebelum ini menolak laluan pemindahan yang menuju ke Rusia. – AFP, 11 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen