PRESIDEN Joe Biden mengeratkan hubungan dengan Colombia pada Khamis dengan menamakan negara Amerika Selatan itu sebagai “sekutu utama bukan NATO” Amerika Syarikat, membuka pintu kepada hubungan ketenteraan dan komersial yang lebih erat.
Presiden AS, yang duduk bertentangan dengan rakan sejawatannya dari Colombia, Presiden Ivan Duque dan dikelilingi oleh menteri dan pegawai kanan dari kedua-dua negara, menyifatkan Colombia sebagai rakan kongsi “penting” Amerika Syarikat.
Beliau menyifatkan Colombia sebagai kunci utama untuk pembangunan ekonomi dan pertahanan demokrasi di Amerika Selatan, dan berterima kasih kepada Duque kerana “mengutuk serta-merta” pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dua minggu lalu.
Duque berkata ia sekaligus membawa hubungan dua hala ke tahap tertinggi dan melahirkan rasa terima kasihnya atas kerjasama AS khususnya dalam memerangi Covid-19..
Gelaran “sekutu utama bukan Nato” (MNNA) ialah kelayakan undang-undang yang telah diberikan oleh Amerika Syarikat kepada kira-kira 15 negara.
Ia membenarkan akses kepada keistimewaan pertahanan dan perdagangan tertentu, tetapi tidak seperti keahlian NATO yang tidak menjamin perlindungan ketenteraan oleh Amerika Syarikat.
Kedua-dua pemimpin itu tidak menyentuh secara terbuka isu yang boleh melemahkan penghargaan bersama: potensi melemahkan hubungan antara Amerika Syarikat dan negara jiran Colombia, Venezuela.
Bogota mempunyai hubungan yang sangat tegang dengan Caracas—sekutu serantau Rusia, yang menerima kecaman antarabangsa dan sekatan berikutan pencerobohannya ke atas Ukraine.
White House tidak mengiktiraf pemilihan semula Presiden Venezuela Nicolas Maduro pada 2018, tetapi lawatan peringkat tinggi AS ke Caracas baru-baru ini, diikuti dengan pembebasan dua tahanan Amerika di negara itu, dilihat sebagai titik perubahan. – AFP, 11 Mac, 2022.
Komen