AS dakwa Korea Utara uji sistem ICBM baharu


Menurut Korea Utara, ujian pada 26 Februari dan 4 Mac itu tertumpu kepada pembangunan satelit peninjau.– Gambar EPA, 11 Mac, 2022.

DUA ujian peluru berpandu baru-baru ini yang dijalankan oleh Korea Utara adalah sistem peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) baharu, kata Pentagon pada Khamis.

Menurut Korea Utara, ujian pada 26 Februari dan 4 Mac itu tertumpu kepada pembangunan satelit peninjau, namun Pentagon berkata analisis rapi menyimpulkan ia sebenarnya percubaan kepada kemungkinan pelancaran ICBM jarak penuh.

Sebarang pelancaran sedemikian akan menandakan berakhirnya moratorium yang dilaksanakan sendiri oleh Pyongyang sejak 2017 dan menyebabkan ketegangan ketenteraan meningkat di semenanjung Korea dan seterusnya.

Korea Utara telah menjalankan tiga ujian ICBM; yang terakhir pada November 2017 iaitu Hwasong-15—dianggap cukup berkuasa untuk sampai ke Washington dan seluruh benua Amerika Syarikat.

Jurucakap Pentagon John Kirby berkata dua ujian baru-baru ini “melibatkan sistem peluru berpandu balistik antara benua” yang pertama kali dipamerkan Pyongyang pada perarakan tentera pada Oktober 2020.

Walaupun kedua-dua pelancaran tidak memaparkan julat atau keupayaan ICBM, mereka jelas berniat untuk menilai sistem baharu ini sebelum menjalankan ujian pada julat penuh pada masa hadapan, yang berpotensi menyamar sebagai pelancaran angkasa lepas,” kata Kirby.

Sebelum ujian ICBMnya pada 2017, Korea Utara telah menjalankan satu siri pelancaran roket berkuasa yang ditegaskannya sebagai sebahagian daripada program angkasa awam yang lebih luas.

Korea Utara sudah pun di bawah sekatan antarabangsa terhadap program peluru berpandu dan senjata nuklearnya.

Tetapi seorang pegawai kanan AS berkata bahawa ujian terbaru adalah “peningkatan yang serius” dan Perbendaharaan akan mengumumkan langkah baharu pada Jumaat untuk membantu menghalang Pyongyang mengakses barangan dan teknologi asing untuk memajukan program itu. – AFP, 11 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen