UK kenakan sekatan terhadap Abramovich


Kerajaan United Kingdom menganggarkan nilai bersih pemilik Chelsea Roman Abramovich pada AS$12.2 bilion, namun berkata ia mengurangkan kesan sekatan ke atas Chelsea dengan membenarkan kelab itu terus beroperasi. – Gambar EPA, 10 Mac, 2022.

PEMILIK Kelab Bola Sepak Chelsea, Roman Abramovich pada Khamis telah dibekukan aset dan perjalanannya disekat sebagai sebahagian daripada sekatan kerajaan United Kingdom terbaharu menyasarkan tujuh oligarki Rusia.

Antara yang dikenakan sekatan ialah industrialis terkemuka Oleg Deripaska, ketua eksekutif Rosneft Igor Sechin dan ketua Gazprom Alexei Miller, umum kerajaan.

Spekulasi telah berkisar sejak berminggu-minggu sama ada Abramovich akan dimasukkan dalam tindakan yang disasarkan terhadap jutawan Rusia yang dianggap dekat dengan Kremlin.

Minggu lalu Abramovich mengumumkan untuk menjual Chelsea, selepas membeli pasukan Liga Perdana Inggeris pada 2003, dan membiayai kejayaannya di peringkat domestik dan Eropah.

Kerajaan UK menganggarkan nilai bersihnya pada £9.4 bilion (AS$12.2 bilion), namun berkata ia mengurangkan kesan sekatan ke atas Chelsea dengan membenarkan kelab itu terus beroperasi.

Lesen khas “mengizinkan beberapa aktiviti berkaitan bola sepak”, kata kerajaan dalam satu kenyataan.

“Ini termasuk kebenaran untuk kelab itu terus bermain perlawanan dan aktiviti berkaitan bola sepak lain yang seterusnya akan melindungi Liga Perdana, piramid bola sepak yang lebih luas, peminat setia dan kelab lain,” tambahnya.

Deripaska merupakan rakan kongsi perniagaan Abramovich, manakala pegawai menyifatkan Sechin sebagai “orang kanan” Presiden Rusia Vladimir Putin.

Empat yang lain iaitu Miller, pengerusi bank VTB Andrey Kostin, presiden Transneft Nikolai Tokarev dan pengerusi Bank Rossiya Dmitri Lebedev merupakan sebahagian daripada lingkaran dalamannya.

Secara kolektif, tujuh mereka mempunyai nilai bersih kira-kira £15 bilion, kata kenyataan itu.

Perdana Menteri Boris Johnson menyebut sekatan itu sebagai “langkah terbaharu dalam sokongan tidak berbelah bahagi UK kepada rakyat Ukraine”.

Tambah Setiausaha Luar Liz Truss: “Sekatan hari ini menunjukkan sekali lagi oligarki dan kleptokrat tidak mempunyai tempat dalam ekonomi atau masyarakat kita.

“Hubungan rapat mereka dengan Putin, mereka terlibat dalam pencerobohannya. Darah rakyat Ukraine berada di tangan mereka.” – AFP, 10 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen