BEBERAPA produk makanan segera Amerika Syarikat iaitu McDonald’s dijual pada harga tinggi menerusi laman web selepas syarikat itu mengumumkan akan menutup “sementara” semua restorannya di Russia, menurut Agensi Anadolu.
McDonald’s pada Selasa mengumumkan ia akan menghentikan operasi di Russia.
Penghentian operasi rantaian makanan itu berlaku berikutan peperangan berterusan Russia terhadap Ukraine, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Chris Kempczinski.
Beliau berkata menerusi e-mel terhadap pekerjanya “ia menyebabkan penderitaan terhadap mereka yang tidak bersalah”.
Beberapa hamburger dijual pada harga AS$150, lapor Agensi Anadolu.
Cawangan McDonald’s pertama dibuka di Dataran Pushkin, Moscow pada 1990 serta dikunjungi sekitar 40,000 pelanggan pada hari pembukaan.
Perang Russia terhadap Ukraine sejak 24 Februari mengundang kecaman antarabangsa, membawa kepada sekatan kewangan ke atas Moscow dan mendorong kebanyakan firma global meninggalkan Rusia.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sekurang-kurangnya 516 orang awam terbunuh dan 908 yang lain cedera sejak Rusia mula menyerang negara itu pada 24 Februari, manakala jumlah sebenar dikhuatiri lebih tinggi.
Sementara itu, lebih 2.1 juta rakyat Ukraine melarikan diri ke negara jiran, menurut data terbaharu dikeluarkan Agensi Pelarian PBB. – Bernama, 10 Mac, 2022.
Komen