Subsidi petroleum negara naik 10 kali ganda, kata menteri


Noel Achariam Ravin Palanisamy

Sejak awal 2021, harga minyak mentah dunia menunjukkan trend menaik yang ketara, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mac, 2022.

SUBSIDI minyak untuk Malaysia naik 10 kali ganda dan mungkin terus meningkat susulan konflik di Ukraine dan Russia, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Tengku Zafrul berkata sejak awal 2021, harga minyak mentah dunia menunjukkan trend menaik yang ketara.

“Harga minyak mentah untuk Januari tahun ini ialah AS$85 setong berbanding Januari 2021 iaitu AS$55 setong.

“Oleh itu kerajaan terpaksa menanggung kenaikan subsidi petrol, diesel dan gas petroleum yang naik 10 kali ganda,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Tengku Zafrul menjawab soalan Wong Hon Wai (Bukit Bendera-PH) yang bertanya tentang perlu atau tidak koordinasi program subsidi petrol, diesel dan LPG susulan kenaikan harga minyak mentah dunia ketika perang Russia-Ukraine sedang berlaku.

Beliau berkata subsidi meningkat daripada RM200 juta pada Januari 2021 kepada lebih RM2 bilion pada Januari tahun ini.

“Susulan konflik di Ukraine dan Russia, harga minyak mentah naik kepada lebih AS$100 per tong, angka tertinggi sejak 2014.

“Dengan kenaikan ini subsidi untuk petrol, diesel dan gas petroleum cecair akan mencecah RM2.5 bilion sebulan.”

Beliau berkata jika harga minyak dunia kekal AS$100 (RM418) setong, subsidi bagi tahun ini akan mencecah RM28 bilion berbanding RM11 bilion pada 2021. – 10 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen