PRESIDEN Ukraine Volodymyr Zelensky menyifatkan serangan udara Rusia ke atas hospital kanak-kanak di tenggara bandar Mariupol sebagai “jenayah perang” selepas ia mencetuskan kecaman antarabangsa.
Menurut seorang pegawai hospital berkenaan, serangan menyebabkan tingkap pecah, sebahagian dinding bangunan roboh dan kereta yangterletak di perkarangan hospital turut terbakar.
“Kami tidak akan lakukan apa-apa seperti jenayah perang ini di mana-mana bandar di wilayah Donetsk atau Lugansk, atau mana-mana wilayah… kerana kami adalah manusia. Tetapi adakah kamu manusia?” soal Zelensky.
“Negara jenis apakah Rusia ini, yang takut dengan hospital dan wad bersalin dan memusnahkannya?” soalnya.
Jurucakap kementerian luar Rusia Maria Zakharova tidak menafikan serangan itu dalam komen pada taklimat Moscow.
Menurutnya tentera kerajaan Ukraine menggunakan hospital itu untuk menetapkan kedudukan menembak selepas memindahkan kakitangan dan pesakit.
Zelensky turut mengesahkan 17 orang cedera dalam serangan itu dan berkata mereka yang berada di hospital berkenaan bersembunyi tepat pada masanya selepas mendengar siren serangan udara.
Bagaimanapun katanya operasi menyelamat di kawasan runtuhan masih diteruskan. – AFP, 10 Mac, 2022.
Komen