PUTRAJAYA sepatutnya membenarkan orang ramai mengeluarkan wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi menampung keperluan hidup, kata Anwar Ibrahim hari ini.
Ketua pembangkang itu berkata walaupun pada mulanya beliau teragak-agak untuk menyokong pengeluaran itu, beliau melihat langkah itu diperlukan melihat kepada penderitaan rakyat.
“Saya agak keberatan untuk mendukung langkah ini kerana ia pasti memberi kesan kepada simpanan mereka di masa hadapan meski saya tahu pendirian ini sangat tidak popular dalam kalangan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata kerajaan dan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz gagal membantu orang ramai yang mengalami kerugian semasa banjir baru-baru ini.
“Saya terus mendengar keluhan dalam kalangan rakyat yang hari ini berada dalam keadaan yang amat terdesak dan menekan, terutamanya dalam jelajah saya di seluruh Johor yang sedang berlangsung.
“Justeru setelah kita melihat bahawa kerajaan seolah tidak ada jalan untuk merungkai kegagalan ini, saya kini mendukung agar pengeluaran inii dibenarkan sesegera mungkin dan tanpa ada apa-apa halangan dan karenah birokrasi,” kata presiden PKR berkenaan.
Anwar berkata kerajaan juga perlu mengambil perhatian terhadap mereka yang bukan pencarum KWSP.
Minggu lalu bekas perdana menteri Najib Razak menyeru sekali lagi agar kerajaan membenarkan pengeluaran selanjutnya di bawah skim i-Citra KWSP dengan berkata ia bagi memenuhi keperluan rakyat.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata ini adalah kali keempat beliau membuat gesaan itu.
“Siapa hendak claim kredit (mendapat nama) tak kisahlah…Asalkan permintaan pengeluaran kali terakhir ini, yang sangat diharapkan oleh rakyat dapat dipenuhi kerajaan dengan segera,” katanya.
Sebelum ini kerajaan membenarkan pengeluaran simpanan KWSP melalui beberapa siri inisiatif iaitu i-Sinar, i-Citra dan i-Lestari.
KWSP berkata pengeluaran itu memanfaatkan 7.34 juta ahli atau 58% daripada 12.6 juta ahli di bawah umur 55 tahun dengan jumlah pengeluaran berjumlah RM101 bilion.
Disebabkan pengeluaran khas itu peratusan ahli yang mempunyai simpanan asas (RM240,000 pada 55 tahun) jatuh mendadak daripada 36% pada 2020 kepada 30% pada akhir 2021.
Dana itu berkata terdapat juga 46% ahli di bawah umur 55 tahun yang mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam dana persaraan mereka.
Minggu lepas KWSP juga mengumumkan dividen 6.1% untuk pencarumnya. – 9 Mac, 2022.
Komen