Pemimpin China, Perancis, Jerman bincang isu Ukraine


Presiden China, Xi Jinping mengadakan pertemuan dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Canselor Jerman, Olaf Scholz secara maya semalam untuk membincangkan situasi terkini Ukraine. – Gambar EPA, 9 Mac, 2022.

PRESIDEN China, Xi Jinping mengadakan pertemuan dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Canselor Jerman, Olaf Scholz secara maya semalam untuk membincangkan situasi terkini Ukraine.

“China berpendirian untuk menghormati kedaulatan negara dan keutuhan wilayah, mematuhi Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mementingkan keprihatinan keselamatan yang rasional, dan menyokong semua usaha kondusif kepada pendekatan secara damai,” ujar Xi.

Tegas beliau, keutamaan pada ketika ini adalah untuk mengelakkan ketegangan menjadi semakin meruncing dan sukar dikawal. 

Xi berkata China menghargai jasa baik Perancis dan Jerman dalam isu Ukraine, serta bersedia mengekalkan interaksi dan penyelarasan dengan Kesatuan Eropah (EU), sekali gus berperanan positif bersama-sama dengan masyarakat antarabangsa.

Tambahnya, dunia juga diharap dapat mengambil pandangan keselamatan secara bersama dan bersepadu. 

“China menyokong Perancis dan Jerman mempertimbang keamanan Eropah, mempertahankan strategi sendiri, dan mendorong pembentukan kerangka keselamatan Eropah yang teratur, berkesan dan lestari.

“China juga menyokong dialog yang sama rata diadakan antara EU, Rusia, Amerika Syarikat dan NATO,” kata Xi.

Sementara itu, Macron dan Scholz pula menekankan bahawa Perancis dan Jerman sedang berdepan dengan krisis paling serius sejak Perang Dunia Kedua serta turut menyokong penyelesaian masalah menerusi rundingan.

Difahamkan, agenda lain yang turut dibincangkan dalam pertemuan tiga hala itu adalah mengenai isu nuklear Iran. – Bernama, 9 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen