BEBERAPA petunjuk utama termasuk penggunaan katil hospital, kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) dan kematian diambil kira dalam menyarankan peralihan Malaysia ke fasa endemik, kata Khairy Jamaluddin hari ini.
Menteri kesihatan berkata walaupun jumlah jangkitan harian yang tinggi akibat gelombang Omicron ini tidak bermakna bilangan kemasukan ke hospital atau kematian lebih tinggi seperti yang dilihat semasa gelombang Delta tahun lepas.
“Ini adalah kesan decoupling. Peningkatan kes harian tidak diikuti dengan kemasukan ke hospital, kemasukan ke ICU, penggunaan ventilator atau kematian,” katanya pada sidang media.
Satu lagi penunjuk utama yang diteliti ialah peratusan pesakit Covid-19 dalam pengasingan rumah yang keadaannya semakin merosot membawa kepada kemasukan ke hospital.
“Purata 1.3% yang merosot semasa dalam pengasingan rumah dirujuk ke pusat kuarantin manakala hanya 0.5% dimasukkan ke hospital.
“Ini adalah petunjuk yang membolehkan Kementerian Kesihatan memutuskan ini adalah masa yang sesuai untuk kita memberi jaminan kepada kerajaan bahawa kita boleh memulakan peralihan ke fasa endemik.
Setakat ini kadar penggunaan katil untuk kes Covid-19 tidak kritikal termasuk yang sedang disiasat hanya 69% manakala penggunaan ICU pada 42% dan ventilator pada 25%.
Secara keseluruhan penggunaan katil untuk semua kes tidak kritikal termasuk Covid-19 adalah 70% manakala penggunaan ICU adalah 59%.
Di sebalik peralihan ke fasa endemik Khairy berkata kementerian bersedia berdepan sebarang kemungkinan.
“Jika ada varian baharu yang lebih teruk daripada Omicron bukan sahaja Malaysia malah negara lain juga akan meneliti protokol mereka,” katanya.
Protokol untuk pelancong memasuki Malaysia
Seiring dengan peralihan sempadan antarabangsa juga akan dibuka pada 1 April.
Khairy berkata mana-mana individu yang menjalani kuarantin sebelum 1 April, perintah kuarantin mereka akan tamat pada 1 April.
“Sebagai contoh jika mereka mula kuarantin pada 29 Mac ia akan tamat pada 1 April.
“Bagi kanak-kanak berusia 17 tahun ke bawah tanpa mengira status vaksinasi mereka tidak perlu dikuarantin dan hanya perlu menjalani ujian RTK-Antigen 24 jam sebaik tiba di Malaysia,” katanya.
Sementara itu mereka yang belum divaksin sepenuhnya atau belum menerima vaksin mereka dikehendaki menjalani kuarantin selama lima hari selepas ketibaan.
“Apabila mereka tamat kuarantin mereka perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP). Seperti tidak boleh makan di restoran,” katanya.
Bagi mereka yang dikecualikan daripada vaksinasi atas sebab kesihatan mereka dikehendaki memuat naik bukti di MySejahtera untuk dinilai oleh KKM.
Khairy berkata protokol untuk pengembara melalui darat akan diumumkan minggu depan.
“Untuk perjalanan darat kita perlu membezakan antara pelancong dan penumpang berkala. Penumpang berkala dari Singapura, Thailand dan Brunei jika mereka melakukan perjalanan harian atau mingguan adalah tidak praktikal untuk mereka melakukan PCR setiap masa.
“Kami sedang berbincang dengan negara jiran dan negeri yang mempunyai sempadan darat untuk menghasilkan kaedah yang menjamin kesihatan awam dan menjadikannya lancar untuk penumpang biasa,” katanya.
Mulai 1 April satu-satunya aktiviti yang kekal dalam senarai negatif Majlis Keselamatan Negara ialah kelab malam, tambahnya. – 9 Mac, 2022.
Komen