Hampir 120,000 kes Covid-19 libatkan kanak-kanak bawah 12 tahun, kata Khairy


Raevathi Supramaniam

Pada 2020 hanya terdapat 7,730 jangkitan dalam kalangan bayi baru lahir hingga mereka yang berusia 11 tahun yang menunjukkan peningkatan ketara kepada 379,245 pada 2021. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Mac, 2022.

BILANGAN kanak-kanak di bawah usia 12 tahun yang dijangkiti Covid-19 meningkat berbanding dua tahun lepas dengan 119,718 kes dalam kumpulan umur ini sejak awal tahun, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini.

Beliau berkata pada 2020 hanya terdapat 7,730 jangkitan dalam kalangan bayi baru lahir hingga mereka yang berusia 11 tahun. Ini meningkat dengan ketara kepada 379,245 pada 2021.

“Dari Januari hingga pertengahan Februari terdapat 50,826 kanak-kanak dijangkiti Covid-19 di bawah usia 12 tahun.

“Terdapat peningkatan 68,893 kes antara pertengahan Februari dan Mac. Ini menjadikan jumlah keseluruhan kanak-kanak yang dijangkiti antara Januari dan pertengahan Mac kepada 119,719 kes,” katanya pada sidang media hari ini.

Khairy berkata terdapat juga peningkatan penggunaan katil dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun antara Januari dan Februari.

“Kemasukan kanak-kanak ke unit rawatan rapi (ICU) meningkat sebanyak 94% bagi mereka dalam Kategori 3 hingga 5.

“Bagi Kategori 4 terdapat peningkatan sebanyak 200% manakala bagi Kategori 5 terdapat peningkatan sebanyak 125%,” katanya.

Beliau berkata kanak-kanak yang dijangkiti Covid-19 juga menunjukkan sindrom keradangan pelbagai sistem (MISC) di mana ia menjejaskan jantung, paru-paru dan otak.

“Antara Jun 2020 sehingga Disember 2021 seramai 174 kanak-kanak di bawah usia 18 tahun terkesan oleh MISC.

“Setakat ini terdapat tujuh kematian (4%) dikaitkan dengan MISC,” katanya.

Dari segi vaksinasi untuk kanak-kanak antara lima hingga 11 tahun hanya 30% sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sehingga kini 1.63 janji temu untuk kanak-kanak sudah diberikan tetapi hanya sejuta yang menghadirikan diri. – 9 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen