Kempen politik losyen muka timbang kilo


Zulfadzli Halim

RANCAK sekali kempen pilihan raya di Johor setelah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melonggarkan SOP agar kempen bertemu pengundi dapat dijalankan dengan lebih luas, walaupun dalam jumlah kurang 100 pada suatu masa. 

Ada juga secara spontan berlaku joget lambak dan majlis makan malam yang dibuat bukan atas dasar kempen pilihan raya. Ini keunikan Malaysia — virus Covid-19 di sini juga lebih tertarik kepada program politik berbanding program lain.

Tapi bukan ini yang kita nak bincang, sebaliknya kempen elektronik yang begitu ghairah dijalankan oleh semua pihak. Bagi saya, eksperimen menjual sosok politik di Malaysia di ruang internet sudah matang untuk diaplikasikan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). 

Johor menjadi medan terbaik untuk menguji segala senjata yang ada kerana geografi Johor yang lebih subur kesalinghubungan internetnya berbeza dengan Melaka dan Sarawak.

Kempen politik maya di Malaysia bukanlah benda baru, masakan istilah “cybertrooper” yang digunakan dari seantero dunia, dicipta dari negara ini.

Malangnya ahli politik, idea politik dan organisasi politik bukan losyen muka timbang kilo yang boleh dikendali oleh pakar pemasaran internet biasa. Di sini amaran saya bermula.

Tular

Kita telah melihat beberapa insiden yang menjadikan ahli politik seolah-olah badut kerana mengejar populariti segera mengikut strategi pemasaran tradisi yang biasanya digunakan untuk menjual coklat dalam balang atau krim pemutih. 

Hasilnya seorang menteri cuba menjadi ikon TikTok yang akhirnya dikecam masyarakat. Kempen positif bertukar rupa. Tapi bagi pandangan ahli pemasaran internet jadi-jadian, sekurang-kurangnya ia tular.

Matlamat pakar pemasaran politik adalah untuk ‘menjual’ ahli politik dan mendapatkan undian paling banyak dalam pilihan raya. Tiada pertimbangan moral, keputusan yang dianggap bagus sangat jelas.

Ini sangat berbahaya sepertimana yang kita dapat lihat kes Cambridge Analytica yang memperalatkan media sosial untuk mencuri data pengguna yang kemudiannya menyalurkan idea-idea yang dipakej kepada pengguna unik.

Puncanya ialah ketidakmampuan “pakar pemasaran” ini untuk menanggapi idea politik. Tujuan asal politik dan demokrasi sudah tenggelam dalam usaha untuk mendapat ketik komen dan perkongsian terbanyak. 

Akhirnya populariti menjadi kosong; bukan untuk menambah baik kehidupan rakyat, menjalankan polisi terbaik.

Jika duduk atas motorsikal RXZ boleh memberi populariti tertinggi maka itulah yang akan dicadangkan. Terkenal tanpa memberi erti atau nilai tambah kepada rakyat. Akhirnya kemana politik kita akan terarah? 

Antara popular dan pintar

Demokrasi akhirnya tidak lagi menjadi kuasa rakyat, sebaliknya kempen-kempen penuh emosi, membuatkan rakyat memilih pemimpin bukan atas sebab fakta atau rasional.

Pemimpin bukan lagi dipilih kerana kepintaran menghasilkan penyelesaian terbaik untuk masalah umat tapi atas dasar populariti lompong.

Ini menguatkan hujah kritikan ke atas demokrasi yang diluahkan Socrates beberapa ribu tahun dahulu tentang memberi hak memilih kepada mereka yang tiada pengetahuan jelas tentang politik. 

Bayangkan kita diberi pilihan untuk memilih pengemudi pesawat terbang yang akan kita naiki. Pastinya kita pilih dari kalangan kapten yang telah melalui latihan beratus-ratus jam, lulus ujian khas dan memiliki lesen yang bersesuaian. 

Anehnya dalam memilih pemimpin yang bakal menguruskan kewangan negara, keselamatan negara, dan masa depan anak kita; hasil dari kempen-kempen politik ini kita memilih berdasarkan populariti. Tidakkah ini aneh? 

Demokrasi bukanlah sistem yang sempurna, kini budaya pendidikan politik cetek memburukkan keadaan dengan menaikkan tokoh politik yang masyhur.

Apa yang terjadi di Malaysia sekarang ialah bergerak ke belakang, dari mengajar rakyat untuk berfikir dan menilai secara bermaklumat, kita berkempen dengan kaedah yang sama mempromosikan losyen timbang kilo. 

Malaysia telah bergerak dari era ‘cybertrooper’ yang menyerang melalui komen, kepada menghasilkan ‘content’ dalam bentuk poster dan video. Karya seni propaganda ini pula disusun dalam bentuk kempen agar jalan cerita yang dikeluarkan lebih menggugat emosi pengundi. 

Ini bukan masalah besar kerana ia cuma teknik biasa yang digunakan dalam strategi pemasaran suatu produk. 

Celaka

Malangnya jika teknik ini digunakan untuk menjual produk politik – tanpa nawaitu politik yang jernih, natijahnya pastinya celaka.

Jurukempen yang berhemah perlu mempunyai latar belakang politik yang murni dan pemikiran politik.

Mereka ini tidak akan sewenangnya bermain dengan alat seperti perkauman dan agama untuk sekadar meraih populariti. Ini tanggungjawab besar kerana kempen mereka bakal menentukan masa depan suatu masyarakat.

Strategis kempen yang mempunyai pemikiran politik yang jernih juga amat penting agar ahli politik yang dijual tidak jatuh ke lembah kedurjanaan dengan imej selekeh.

Malah, ia dapat mengelak kesalahan keanak-anakan seperti menggunakan tema warna yang salah dalam poster seperti yang terjadi baru-baru ini.

Hujungnya, media sosial kini terbukti mampu menjadi alat untuk mengubah masyarakat malah kerajaan haruslah digunakan secara dengan cara yang paling bijaksana.

Senjata ini bukan sekadar untuk memperoleh “likes” dan ulang ciap, kerana ia mampu membunuh masa depan kita semua. 

Ahli politik yang kita mahu jual bukan sekadar produk, tetapi pemimpin yang bakal menentukan dasar negara. Adakah sifat tamak terlalu besar sehingga sanggup menjual masa depan? 

Hati-hati dengan pisau di tangan. – 9 Mac, 2022.

* Zulfadzli Halim seorang jurutera sebelum wabak Covid-19. Kini berkicau di Twitter menggunakan nama @bumilangit kerana tak cukup kacak untuk TikTok.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen