Putera Jordan mohon maaf cetus krisis istana 2021


Putera Hamzah Al-Hussein berikrar taat setia kepada Raja Jordan bagi menyelesaikan kemelut keluarga diraja itu. – Gambar EPA, 9 Mac, 2022.

MAHKAMAH diraja Jordan berkata pada Selasa yang bekas putera mahkota Hamzah bertemu abang tirinya Raja Abdullah II, dan memohon maaf kerana peristiwa yang mencetuskan krisis istana tahun lepas.

Dalam surat yang dihantar “awal minggu ini”, Putera Hamzah “mengambil tanggungjawab atas tindakan dan kesalahannya terhadap Jordan dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia sejak beberapa tahun lalu, termasuk insiden yang menyusul dalam kes hasutan”, kata satu kenyataan.

Raja dan Hamzah bertemu pada petang Ahad atas permintaan putera raja, tambahnya.

Pada April tahun lalu, pihak berkuasa Jordan mengumumkan berjaya menggagalkan usaha menggugat kestabilan kerajaan pro-Barat dan menahan 18 suspek, walaupun kebanyakannya kemudian dibebaskan.

Hamzah, yang diketepikan oleh raja sebagai pewaris takhta pada 2004, menuduh pemerintah Jordan melakukan rasuah dan tidak cekap dalam mesej video yang disiarkan oleh BBC pada 3 April.

Beliau berkata pada hari yang sama sedang menjalani  tahanan di rumah.

Mahkamah Jordan pada Julai menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun kepada dua bekas pegawai selepas mendapati mereka bersalah atas rancangan rampasan kuasa.

Hamzah tidak didakwa dalam perbicaraan, tetapi kertas pertuduhan berkata beliau “bertekad untuk memenuhi cita-cita peribadinya untuk memerintah, melanggar perlembagaan dan adat Hashemite”.

“Pengakuan putera raja atas kesilapan dan permintaan maafnya mewakili satu langkah ke arah yang betul bagi mendapatkan semula peranannya sebagai ahli keluarga diraja”, kata kenyataan pada Selasa.

Hamzah menyuarakan harapan membuka lembaran baru dalam sejarah negara dan keluarga, menurut terjemahan suratnya yang disediakan bersama kenyataan itu.

Raja melantik Hamzah sebagai putera mahkota pada 1999, atas permintaan arwah bapanya, tetapi memecatnya daripada jawatan itu pada 2004, dan menamakan anaknya, Putera Hussein sebagai pewaris takhta.

Rancangan rampasan kuasa itu mencetuskan krisis yang jarang berlaku di sebuah kerajaan yang dilihat sebagai tonggak kestabilan di rantau itu.

Pada Julai, bekas ketua mahkamah diraja Bassem Awadallah dan bekas utusan ke Arab Saudi, Sharif Hassan bin Zaid, disabitkan bersalah kerana bersubahat menjatuhkan raja dan berpihak kepada Hamzah.

Pihak berkuasa berkata Hamzah tidak akan dibicarakan, kerana kesnya sudah diselesaikan dalam keluarga diraja, dengan Hamzah berikrar taat setia kepada Abdullah. – AFP, 9 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen