Kabinet Thailand lulus pilihan raya gabenor Bangkok


Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand akan menetapkan tarikh pilihan raya gabenor Bangkok yang dijangka diadakan Mei tahun ini. – Gambar EPA, 9 Mac, 2022.

KABINET Thailand semalam memberikan lampu hijau untuk mengadakan pilihan raya gabenor Bangkok yang sekian lama dinantikan, selepas kali terakhir diadakan sebelum rampasan kuasa 2014. 

Jurucakap kerajaan, Thanakorn Wangboonkongchana, berkata mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha turut meluluskan cadangan Kementerian Dalam Negeri untuk mengadakan pilihan raya datuk bandar Pattaya, juga kali terakhir diadakan sebelum rampasan kuasa.

“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Thailand akan menetapkan tarikh pilihan raya gabenor Bangkok dan datuk bandar Pattaya.

“Pilihan raya dijangka diadakan Mei tahun ini,” katanya pada sidang media di Bangkok, semalam.

Media tempatan melaporkan, penduduk Bangkok bakal memilih 50 ahli majlis manakala penduduk Pattaya memilih 24 ahli majlis. 

Dalam pilihan raya gabenor Bangkok pada 2013, Sukhumbhand Paribatra dari Parti Demokrat memenangi penggal keduanya. 

Bagaimanapun, beliau disingkirkan berikutan rampasan kuasa Mei 2014, dan digantikan Aswin Kwanmuang yang dilantik pada Oktober 2016.

Tinjauan Institut Pentadbiran Pembangunan Kebangsaan mendapati bekas menteri pengangkutan dalam pentadbiran Yingluck Shinawatra, Chadchart Sittipunt, menjadi pilihan untuk gabenor Bangkok. Beliau dijangka bertanding sebagai calon bebas. 

Seramai 1,313 responden terbabit dalam tinjauan itu yang diadakan dari 28 Februari hingga 2 Mac.

Tinjauan mendapati 38.01% memilih Chadchart sebagai gabenor Bangkok akan datang. Penyandang Aswin Kwanmuang ketinggalan jauh dengan sekadar memperoleh 11.73% sokongan. – Bernama, 9 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen