Ketaksuban Wong Chen terhadap Dr Mahathir


KETAKSUBAN Wong Chen terhadap Dr Mahathir Mohamad sangat luar biasa. Dalam kekalutan menghadapi PRN Johor, dia menyasarkan fokusnya terhadap Tun berbanding musuh sebenar iaitu Barisan Nasional.

Ahli Parlimen itu berulang kali meletakkan kesalahan terhadap Dr Mahathir sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan namun dia gagal untuk memahami maksud tanggungjawab bersama sebagai sebuah pasukan.

Sifat ini yang menjadikan Wong Chen dan PKR menjadi beban dalam sebuah gabungan sehingga terpecahnya pembangkang dengan kepimpinan yang rapuh dan tiada ketokohan dalam Pakatan Harapan kini.

Suka saya ingatkan kepada Wong Chen bahawa Dr Mahathir tidak pernah mengabaikan pelan reformasi yang dirancang. Tun sangat komited dengan agenda perubahan dalam banyak perkara.

Jawatankuasa kerja yang terdiri daripada pimpinan Pakatan Harapan dilantik bagi memastikan manifesto itu dapat dicapai. Walaupun pentadbirannya singkat, namun 53 perkara dapat ditunaikan.

Yang selebihnya sedang dalam rangka kerja untuk dilaksanakan dan ada juga terdapat masalah untuk mendapat majoriti 2/3 di parlimen untuk menggubal undang-undang perlembagaan. Contoh terbaik adalah penggubalan undang-undang MA63.

GST, I-Suri, Skim Peduli Sihat adalah contoh manifesto yang telah diselesaikan. Untuk janji penghapusan tol, ia perlu dinilai semula dengan memberikan diskaun kepada pengguna di Lebuhraya PLUS, berikutan keadaan kewangan negara yang sangat tenat pada ketika itu.

Tidak adil untuk meletakkan beban ke atas bahu Tun sahaja dalam menghadapi cabaran ini, tetapi tidak mewarwarkan jasa dan kejayaan yang dibuat pada ketika itu.

Mahathir sama seperti rakan-rakan gabungan yang lain, sangat komited dalam melakukan perubahan. 

Kegagalan Wong Chen dan PKR yang terus salah-menyalahkan tetapi tidak mengakui kelemahan pada ketika itu yang menyebabkan pembangkang sekarang tidak bersatu. – 8 Mac, 2022.

* Ulya Husamudin dalah Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen