Bank Dunia lulus pakej bantuan AS$723 juta untuk Ukraine


Konflik Rusia-Ukraine yang bermula pada 24 Februari telah mengundang kecaman antarabangsa selain mengakibatkan Moscow dikenakan sekatan kewangan. – Gambar EPA, 8 Mac, 2022.

BANK Dunia semalam mengumumkan pihaknya sudah meluluskan pakej bantuan bernilai AS$723 juta untuk Ukraine. 

Menerusi satu kenyataan bank itu memaklumkan pakej bantuan tambahan dikenali Pembiayaan Pemulihan Kecemasan Ekonomi untuk Ukraine atau FREE Ukraine telah mendapat kelulusan Lembaga Pengarah Eksekutif.

“Pakej yang diluluskan terdiri pinjaman tambahan sebanyak AS$350 juta dan jaminan berjumlah US$139 juta, dan geran sebanyak US$134 juta dan parallel financing bernilai US$100 juta,” lapor Agensi Anadolu. 

Presiden Bank Dunia David Malpass berkata Kumpulan Bank Dunia berdiri teguh bersama-sama rakyat Ukraine dan rantau ini.

“Ini adalah langkah pertama daripada banyak langkah yang kami ambil untuk membantu menangani kesan terhadap manusia dan ekonomi akibat krisis ini,” katanya.

Konflik Rusia-Ukraine yang bermula pada 24 Februari telah mengundang kecaman antarabangsa selain mengakibatkan Moscow dikenakan sekatan kewangan. – Bernama, 8 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen