Afghanistan musnah bazar dinamakan sempena pengasas Taliban


Pegawai keselamatan Afghanistan duduk di atas kenderaan berperisai di tengah-tengah pertempuran yang berterusan dengan militan Taliban di daerah Gereshk, wilayah Helmand tahun lalu. Ia kini sedang giat membersihkan beberapa kampung di daerah Darqad daripada militan Taliban. – Gambar EPA, 9 Februari, 2018.

PASUKAN keselamatan Afghanistan mula memusnahkan sebuah bazar yang dinamakan sempena pengasas Taliban, Mullah Mohammad Omar, pada Jumaat sejurus selepas mengusir anggota kumpulan militan itu dari sebuah daerah utama di utara wilayah Takhar.

“Pasukan keselamatan itu meratakan Bazar Omari dengan jentolak dan 30% daripada bazar itu telahpun musnah,” kata jurucakap Abdul Khalil Asir kepada agensi berita China Xinhua.

Terdahulu, pasukan keselamatan Afghanistan membersihkan beberapa kampung di daerah Darqad daripada militan Taliban.

Abdul Khalil berkata militan Taliban menduduki tanah itu secara haram dan membina sebuah bazar untuk memperkukuh cengkaman mereka di kawasan tersebut.

Ramai anggota militan Taliban terbunuh dan cedera dalam beberapa siri operasi di daerah Darqad, kira-kira 100 kilometer di utara bandar Taluqan, yang juga ibu kota wilayah itu.

Militan Taliban belum mengulas laporan itu. – Bernama, 9 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen