Tentera Mesir umum operasi besar-besaran di Sinai, Delta Nil


Pasukan tentera Mesir diletakkan dalam keadaan bersedia untuk operasi besar-besaran bagi mengembalikan keamanan di utara Semenanjung Sinai dan Delta Nil.– Gambar EPA, 9 Februari, 2018.

TENTERA Mesir mengumumkan pelancaran operasi besar-besaran di Delta Nil dan utara Semenanjung Sinai, yang merupakan kawasan kubu kuat kumpulan IS. 

Polis dan tentera diletakkan dalam keadaan bersedia untuk Operasi Sinai 2018, kata pihak tentera dalam satu kenyataan. 

Matlamat utama operasi itu adalah bagi memperketatkan kawalan sempadan, dan “membersihkan” kawasan terbabit daripada pengganas. 

Pasukan keselamatan negara itu sering menjadi sasaran serangan kumpulan pemberontak sejak tentera mengambil alih pentadbiran daripada presiden Mohamed Morsi pada 2013. 

Kebanyakan serangan keganasan berlaku di wilayah Utara Sinai, tetapi terdapat juga serangan ke atas anggota tentera, polis dan juga gereja di kawasan lain termasuk di Kaherah. 

Pada November, Presiden Abdel Fattah al-Sisi, yang mahu pilihan raya semula diadakan bulan depan, mengarahkan ketua angkatan bersenjata untuk mengembalikan keselamatan di Sinai dalam tempoh tiga bulan selepas pemberontak membunuh lebih 300 orang di sebuah masjid. 

Pemberontak turut menyerang pelancong, membunuh 224 orang dalam pesawat yang membawa pelancong dari Rusia pada 2015. – AFP, 9 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen