AHLI perniagaan Zaidi Kanapiah atau dikenali Addy Kana didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas mengaku bersalah tuduhan gagal melaporkan permintaan suapan daripadanya kepada pihak berkuasa, tiga tahun lalu.
Hakim Rozilah Salleh menjatuhkan hukuman selepas Zaidi, 38, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.
Menurut Rozilah, tidak melapor permintaan suapan adalah satu kesalahan serius dan sekiranya dilaporkan ia dapat mengekang jenayah berkenaan berleluasa.
“Kalau ada orang minta suapan, kamu kena laporkan… Tapi disebabkan kamu mengaku bersalah, maka mahkamah pertimbangkan tiada hukuman penjara.
“Saya ucapkan terima kasih kerana mengaku salah,” katanya.
Zaidi didakwa tidak melaporkan kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau polis suatu permintaan suapan wang tunai di sebuah hotel di Puchong, Selangor, pada Julai 2019.
Dia didakwa mengikut Seksyen 25(3) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang bekerja dengan ahli perniagaan berunsur aktiviti tidak bermoral dan perjudian berjumpa pegawai penguatkuasa di hotel berkenaan pada Julai 2019.
Dalam pertemuan itu, pegawai meminta suapan wang tunai RM110,000 sebulan bagi tujuan tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas majikannya, dan sehingga kini tertuduh tidak melaporkan permintaan itu kepada mana-mana pegawai SPRM atau polis.
Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab yang mengendalikan kes memohon hukuman denda maksimum untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.
Peguam Effa Azuin Aidrul Hisham yang mewakili tertuduh merayu supaya hukuman denda saja dikenakan kerana isteri tertuduh dalam pantang selepas melahirkan anak kelima.
Tertuduh juga menjaga bapa berusia 74 tahun, kata peguam, selain pengakuan salahnya itu menjimatkan masa mahkamah.
Difahamkan, SPRM kini dalam proses permohonan melucutkan aset tertuduh bernilai RM1 juta.
Zaidi pernah ditahan dua tahun di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA)1959 pada November 2020 bersama dua anggota polis berkaitan satu sindiket perjudian dalam talian. Mereka bagaimanapun dibebaskan Mahkamah Persekutuan pada April 2021.
Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membenarkan rayuan habeas corpus selepas mendapati penahanan mereka tidak mematuhi undang-undang dan tidak sah. – 8 Mac, 2022.
Komen