KETIKA saya menulis ini kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sedang berlangsung. Mengundi pada Sabtu 12 Mac 2022 untuk merebut 56 kerusi DUN Johor.
Kenapa Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bubar – sama seperti Sabah dan Melaka – adalah sebab dan musabab hasil yang dibawa oleh kemenangan Pakatan Harapan PRU14 pada 10 Mei 2018.
Air telah melimpah ke sawah. Air sungai telah melintas bawah jambatan. Telur ayam telah menetas. Kerbau bunting sudah beranak. Kereta api telah bergerak. Semua telah menjadi sejarah.
Mohamad Sabu daripada Amanah dan Lim Guan Eng daripada DAP, walau menangis air mata emas sekali pun, tidak akan dapat membersihkan diri daripada kesilapan dan bacaan politik mereka yang salah.
Janji-janji manis dan retorik dari mulut Anwar Ibrahim memandulkan fikrah politik Mat Sabu dan Guan Eng hingga mereka tidak berupaya memberikan undi parti mereka kepada Mahathir Mohamad dalam undian pertama pada Februari 2020.
Harga mahal
Akibat kesilapan garis politik dua parti Pakatan Harapan ini runtuh.
Dalam politik, kesilapan garis politik, kesilapan tindakan politik, serta kesilapan taktik dan strategi, akan dibayar dengan harga yang amat mahal sekali.
Waspada. Kesilapan ini bukan dibayar oleh Mat Sabu atau Guan Eng tetapi dibayar oleh rakyat semua. Kitalah – rakyat – yang membayar kesilapan mereka.
Rakyat wajib membayar kerana kita lantik Mat Sabu dan Guan Eng ke barisan hadapan untuk memimpin kita. Justeru mereka ini kita dinobatkan sebagai pemimpin.
Hasil kesilapan Mat Sabu dan Guan Eng rakyat dihempap oleh Muhyiddin Yassin yang akan diingati sejarah sebagai kerajaan gagal.
Kerajaan cirit-birit Muhyidin ini hanya berjaya diselamatkan untuk beberapa ketika oleh virus dari Wuhan melalui kelambu darurat. Ini diikuti pertukaran kuasa di Sabah dan Melaka.
Muhyidin cuba menyelamatkan diri dengan memanggil manja dirinya sebagai Abah. Kini Abah telah diganti pula dengan Pak Long a.k.a Ismail Sabri Yaakob.
Rakyat masih lagi membayar harga yang mahal. Harga mahal kesilapan politik Mat Sabu dan Guan Eng ini menjadi bertambah mahal dengan sampainya serangan virus dari Wuhan yang tidak undur-undur.
Virus ini seperti telah dirancang sampai ketika krisis keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan. Kini virus Wuhan telah lebih dua tahun bersama kita.
Kacau jadi bilau
Sudah jatuh ditimpa tangga. Kaki patah, bibir pecah dan tangan pula terpalit tahi ayam candu.
Tidak cukup dengan kesilapan politik dan virus Wuhan datang pula soldadu Putin masuk ke Ukraine. Kacau jadi bilau. Bilau jadi bala. Bala jadi malapetaka.
Inilah suasana politik kita sekarang ini. Inilah latar belakang politik dunia dan Malaysia ketika kempen PRN Johor berjalan.
PRN Johor menjemput muncul pelbagai bentuk parti politik. Umno dengan konco-konconya; Bersatu dengan sekutunya; Pakatan Harapan tanpa PKR; Warisan, Muda, Putra, Parti Bangsa Malaysia dan Parti Sosialis Malaysia – semua bertanding di PRN Johor.
Ini belum dicampur jumlah calon-calon Bebas yang turut sama menawarkan diri. Amin.
Kemunculan banyak parti ini juga hasil kemenangan Pakatan Harapan. Kejayaan Pakatan Harapan menggulingkan Umno dan konco-konconya telah menjadi pil ‘Viagra’ yang menaikkan nafsu ramai politikus untuk memeluk dan menggomol kuasa.
Peringatan
Awas dan waspada – saya beri ingatan. Politikus ini satu makhluk yang amat ganjil. Hampir semua politikus tidak memiliki cara berfikir berjangka panjang.
Politikus, daripada apa yang saya perhatikan, hanya berupaya berfikir sejauh tiga atau empat tahun ke hadapan.
Jumlah politikus yang berkemampuan berfikir melintas tahap lebih daripada lima tahun ini boleh dibilang.
Malah jika ada politikus yang memiliki keupayaan berfikir dalam jangka masa depan yang jauh, maka mengikut istilah anak-anak muda hari ini – sosok ini amat ‘rare’.
Politikus dalam sistem politik undi akan gagal membebaskan fikrah mereka untuk memikirkan masa depan negara dalam jangka masa 25 tahun iaitu satu generasi, atau 50 tahun iaitu dua generasi.
Politikus tidak memiliki ‘grey matter’ – ketul kelabu – untuk menjana fikrah.
Kegagalan ini disebabkan politikus terperangkap dalam kepuk undi. Untuk seorang politikus yang bertanding untuk menjadi YB atau Adun – dalam kepala mereka – yang dihitung, yang dicampur, yang ditolak, yang dibahagi dan didarab, hanyalah jumlah undi.
Jika kita dengar dari ceramah atau temu bual atau laporan berita tentang perkara-perkara seperti hapuskan tol, tambah peluang kerja, turun harga barang dan sebagainya dari mulut politikus, yakinlah, ini semua hanya labun dan gebang-gebang kosong untuk mengolah persetujuan agar mendapat meraih undi.
Ini satu kelemahan daya fikir politikus di semua negara yang mengamalkan demokrasi electoral politics – demokrasi politik mengundi lima tahun sekali.
Ini berlawanan dengan sistem demokrasi perancangan pusat – democaratic central planning – yang diguna pakai di Rusia atau China Merah. Vladimir Putin dan Xi Jinping tidak pernah memikirkan berapa undi yang akan dipungut lima tahun lagi.
Putin dan Jinping menggunakan kekuatan fikrah dan keupayaan diri bukan untuk mencari undi tapi untuk melakar, merancang strategi pertahanan, merancang perkembangan ekonomi untuk Rusia atau China. Amin.
Mungkin ada yang akan menolak pandangan saya ini. Tapi saya yakin pandangan saya ini ada membawa kebenaran.
Semua pandangan saya ini adalah hasil pengumpulan pengalaman dan pengumpulan pemerhatian dari apa yang telah dirancang, diatur, digariskan oleh pemimpin parti DAP, PKR dan Amanah bersama beberapa NGO sebelum bertempur dalam PRU14.
Wajib dihitamputihkan di sini bahawa ilmu pengetahuan bukan datang dari buku atau dari mimpi. Ilmu pengetahuan datang dari pengumpulan pengalaman yang dirakam dan ditulis untuk menjadi buku.
Kajian ilmu ilmiah dari bilik makmal juga adalah hasil pengalaman dan pemerhatian yang dikumpul. Kemudian ditulis, dibincang, didebat, diulang buat sebelum dinobat untuk menjadi cabang ilmu.
Pengalaman PRU14 – satu perkara yang amat jelas ialah wujudnya apa yang saya panggil “United Front” atau Barisan Bersatu. Teori “United Front” ini adalah pengumpulan perjuangan dari zaman berzaman ketika orang terdahulu daripada kita berperang.
Teori ini bukan milik kaum kiri. Ini kerana teori United Front ini boleh digunakan oleh parti garis politik kiri, garis tengah, garis kanan termasuk kaum Fasis.
Hakikatnya teori ini adalah pengumpulan pengalaman dalam perang – cara dan taktik untuk menang dan mengalahkan musuh.
Kita tak perlu menghafal buku Seni Perang oleh Sun Tzu untuk memahami teori ini. Kita juga tidak perlu membaca kitab Mao Zedong tentang teori perang gerila. Kita juga tak perlu ke universiti Harvard atau Yale untuk belajar ilmu sains politik. Tak perlu, tak payah.
Pengalaman PRU14 – sudah cukup – untuk kita memahami bahawa hanya dengan United Front, hanya dengan Barisan Bersatu, terbukti gerombolan Umno dapat dikalahkan dalam PRU14. Amin
United Front – Barisan Bersatu – ini adalah syarat wajib untuk mencapai kemenangan. Teori ini cukup senang. Saya tidak perlu bermain di padang ragbi Malay College untuk menyimpulkan teori ini dalam satu ayat: Banyakkan kawan, kurangkan musuh.
Senjata ampuh
Banyakkan kawan dan kurangkan musuh adalah intipati daripada teori Barisan Bersatu – United Front.
Kemenangan Pakatan Harapan bermula dengan Deklarasi Rakyat yang ditandatangani pada hari Jumaat 4 Mac 2016 – dua tahun sebelum PRU14.
Deklarasi Rakyat ini ditandatangani dan dipersetujui oleh pemimpin parti politik – yang akhirnya menjadi Pakatan Harapan. Dokumen ini juga ditandatangani oleh beberapa pemimpin NGO.
Deklarasi Rakyat ini berasaskan teori United Front – Barisan Bersatu.
Saya melakar kembali Deklarasi Rakyat untuk membuktikan bahawa teori Barisan Bersatu ini adalah senjata yang paling ampuh yang wajib digunakan dalam pertempuran politik undi di Malaysia.
Barisan Bersatu ini adalah asap daun kecubung yang akan dapat mengalahkan Panglima Hitam yang dikatakan kebal.
Saya melakar kembali babak sejarah 4 Mac ini untuk membuktikan bahawa dalam PRN Johor Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional akan terbarai. Parti-parti yang lain bukan sahaja mendapat telur penyu malah akan hilang duit pertaruhan.
Warisan, Muda, Parti Bangsa Malaysia, PKR dan Putra – berjuang sendiri-sendiri. Hanya DAP dan Amanah yang masih menggunakan lambang Pakatan Harapan.
Inti pati kedua dalam teori Barisan Bersatu ialah: Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.
Ini ilmu turun temurun daripada datuk nenek moyang kita. Inilah ilmu perang hasil daripada mengumpul pengalaman datuk nenek moyang kita menentang askar Siam, menentang soldadu Belanda, melawan soldadu Portugis dan menentang sepoi dan askar upahan Inggeris.
Kenapa kita melupakan ajaran datuk nenek moyang kita? Amin.
Teori Barisan Bersatu
PRN Johor ini akan membuktikan kebenaran teori Barisan Bersatu. Pakatan Harapan dan PKR tidak akan berjaya seperti mana dalam PRU14. Begitu juga Bersatu dan sekutunya.
Adakah ini bermakna Pakatan Harapan kalah? PKR akan kalah? Perikan Nasional akan kalah? Betul, semua akan kalah. Kalau tidak hilang duit pertaruhan anggaplah sebagai kejayaan.
Sabar dulu – kekalahan ini juga adalah pengalaman. Pengajaran yang paling baik ialah pengalaman yang dialami. Bila kepala sudah terhantuk, baru hendak tengadah. Kepala terhantuk juga adalah ilmu pengetahuan. Pengalaman kepala yang berdarah itu wajib dikumpul dan dihayati.
Hanya yang bebal gagal mengumpul pengalaman. Hanya yang bebal yang akan masuk ke lubang ular dua kali. Hanya yang bebal akan menggali lubang untuk menimbus badan sendiri.
Hanya yang bebal yang tidak menerima kekalahan tapi menyalahkan orang lain sebagai penyebab kalah.
Justeru, saya mencadangkan Pakatan Harapan menggunakan PRN Johor sebagai gedung ilmu pengetahuan – sebagai kuliah tangga ilmu – untuk menggalang satu perserikatan baru.
Bagaimana rupa bentuk penggalangan perserikatan baru ini?
Tunggu minggu hadapan.
* Hishamuddin Rais, aktivis politik.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen