Russia kerah hampir semua tenteranya ke Ukraine


Pengeboman berlaku di Kyiv, Kharkiv, Chernihiv di utara, Mykolaiv dan Mariupol memusnahkan rumah, gereja, hospital dan sekolah manakala jumlah mangsa terus meningkat. – Gambar EPA, 8 Mac, 2022.

PENTAGON menambah 500 lagi tentera Amerika Syarikat (AS) di Eropah bagi meningkatkan keselamatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).

Ia susulan Russia meletakkan hampir semua aset tempurnya di sempadan Ukraine, membayangkan kemungkinan serangan besar-besaran, kata Jabatan Pertahanan AS.

Presiden Russia Vladimir Putin terus meningkatkan operasi tentera ketika serangan Russia ke atas orang awam didakwa semakin meningkat dan Moscow juga sedang berusaha untuk merekrut pejuang asing, terutama dari Syria, untuk perang di Ukraine.

Jurucakap Pentagon John Kirby berkata pencerobohan itu kini perlahan selepas beberapa kemenangan di selatan Ukraine, sekali gus menyaksikan tentera Russia tidak mencapai sebarang kemajuan ketara sejak beberapa hari kebelakangan ini.

AS mengerahkan 12,000 askar tambahan ke Eropah sejak Februari lalu tetapi Presiden AS Joe Biden menegaskan tentera AS tidak akan terbabit dalam konflik dengan tentera Russia di Ukraine.

Hujung minggu lalu, Setiausaha Pertahanan AS Lloyd Austin mengarahkan 500 anggota tentera tambahan ke lokasi di Eropah, khususnya sayap timur Nato untuk menambah pasukan AS yang berada di lokasi.

“Anggota tambahan akan bertindak balas kepada persekitaran keselamatan semasa yang disebabkan pencerobohan tanpa provokasi Russia ke atas Ukraine.

“Ini pasti dapat membantu mengukuhkan dan meningkatkan keupayaan pencegahan serta pertahanan pakatan Nato memandangkan Russia difahamkan sudah menempatkan lebih 150,000 tentera di sepanjang sempadan Ukraine.

“Putin sudah mendapat hampir semua kuasa tempur besar-besaran yang dikumpulkan di dalam Ukraine,” kata Kirby.

Pengeboman berlaku di sekitar ibu kota Kyiv, Kharkiv, Chernihiv di utara, Mykolaiv dan Mariupol di selatan memusnahkan rumah, gereja, hospital dan sekolah manakala jumlah mangsa terus meningkat. – AFP, 8 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen