AGENSI Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mengumumkan bahawa badan dunia itu menerima laporan peluru artileri memusnahkan kemudahan penyelidikan nuklear di bandar kedua terbesar Ukraine, Kharkiv namun tiada “kesan radiologi”.
Badan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berpangkalan di Vienna itu berkata pihak berkuasa Ukraine melaporkan serangan berlaku semalam, sambil menambah tiada peningkatan tahap sinaran dilaporkan di tapak itu.
Oleh kerana “inventori bahan radioaktif di tapak adalah sangat rendah” dan disimpan dalam keadaan “subkritikal”, IAEA berkata “kerosakan yang dilaporkan kepadanya tidak akan mempunyai sebarang kesan radiologi.”
Kemudahan itu adalah sebahagian daripada Institut Fizik dan Teknologi Kharkiv, sebuah institut penyelidikan yang menghasilkan bahan radioaktif untuk aplikasi perubatan dan industri.
Kharkiv mengalami bedilan peluru berpandu Rusia sejak beberapa hari kebelakangan ini, ketika Moscow cuba meningkatkan tekanan ke atas Ukraine untuk menyerah diri.
Institut nuklear itu sendiri telah menjadi pusat teori konspirasi dalam talian dan dakwaan yang tidak berasas dalam media Rusia bahawa Ukraine sedang cuba untuk membangunkan “bom kotor” – senjata nuklear mentah yang mampu menyebabkan kematian besar-besaran.
Menurut IAEA, ini hanyalah contoh terbaru kemudahan nuklear terperangkap dalam perang Rusia ke atas Ukraine.
“Kami telah mengalami beberapa episod yang menjejaskan keselamatan di tapak nuklear Ukraine,” kata ketua pengarah IAEA Rafael Mariano Grossi.
Terdapat laporan kemusnahan terhadap kemudahan pelupusan sisa radioaktif berhampiran Kyiv dan Kharkiv malah tentera Rusia telah menyerang loji nuklear Zaporizhzhia, menyebabkan kebakaran yang terpaksa dikawal.
IAEA berkata Zaporizhzhia – loji tenaga nuklear terbesar di Eropah – kini berada di bawah kawalan tentera Rusia, menghalang penghantaran alat ganti dan ubat.
Hanya dua daripada enam kemudahan reaktor itu beroperasi.
Komunikasi juga terputus dengan kemudahan nuklear kecil di bandar Mariupol – telah dikepung tentera Rusia, menyebabkan penduduk tidak mempunyai bekalan elektrik atau air.
IAEA menggesa Moscow dan Kyiv untuk bersetuju dengan rancangan untuk melindungi kemudahan nuklear.
Grossi diminta untuk pergi ke loji kuasa nuklear terkenal Chernobyl – tapak bencana 1986 – di mana lebih 200 kakitangan berada di lokasi selama 12 hari berturut-turut. – AFP, 8 Mac, 2022.
Komen