Kumpulan wanita gesa perluas takrifan gangguan seksual dalam RUU


Raevathi Supramaniam

Definisi itu ketika ini adalah terhad, dan tidak meliputi pelbagai keadaan lain di mana gangguan seksual mungkin berlaku, kata Ketua Kempen Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Abinaya Mohan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mac, 2022.

TAKRIFAN gangguan seksual bawah Rang Undang-undang (RUU) Anti-Gangguan Seksual 2021 mesti diperluas, kata kumpulan wanita.

Mereka berkata definisi itu ketika ini adalah terhad, dan tidak meliputi pelbagai keadaan lain di mana gangguan seksual mungkin berlaku.

Selain meluaskan definisi, kumpulan itu juga menggesa Putrajaya memasukkan peruntukan mengenai tugas badan bertindak supaya organisasi awam dan swasta secara aktif mengambil langkah untuk mencegah gangguan seksual.

Mereka juga meminta peruntukan mengenai penganiayaan, di mana mangsa dilayan dengan teruk apabila mereka membuat aduan, mesti dimasukkan bagi mengelakkan tekanan dan trauma kepada mangsa.

Ketua Kempen Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Abinaya Mohan berkata definisi gangguan seksual mesti termasuk intimidasi dan persekitaran yang bermusuhan.

“(Takrifan) mesti diperluaskan untuk memasukkan ‘penciptaan persekitaran yang menakutkan, menyinggung perasaan atau kurang selesa’,” kata Abinaya kepada The Malaysian Insight.

“Ia perlu dimasukkan untuk mengakui dan memahami bahawa gangguan seksual boleh mewujudkan atau didayakan lagi oleh persekitaran kurang selesa.

“Ia tidak selalu berlaku hanya antara dua individu atau tidak ditujukan khusus kepada seseorang. Terhadap seseorang lebih tepat.”

RUU Anti-Gangguan Seksual 2021 dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 15 Disember tahun lepas.

Rang undang-undang itu menggesa penubuhan Tribunal Anti-Gangguan Seksual untuk mengendalikan aduan gangguan seksual.

Anggota tribunal, termasuk presiden dan timbalan presiden, akan dilantik dalam kalangan ahli perkhidmatan kehakiman dan perundangan.

Rang undang-undang itu memberikan tribunal bidang kuasa untuk mendengar dan menentukan aduan gangguan seksual yang dibuat oleh mana-mana individu.

Tribunal juga mempunyai kuasa untuk memerintahkan responden mengeluarkan pernyataan permohonan maaf kepada pengadu dalam apa jua cara seperti yang dinyatakan dalam perintah itu.

Selain itu, tribunal boleh mengeluarkan perintah supaya responden membayar apa-apa pampasan atau ganti rugi tidak melebihi RM250,000 bagi sebarang kerugian atau kerosakan yang dialami mangsa gangguan seksual.

Seperti yang sedia ada, rang undang-undang itu mentakrifkan gangguan seksual sebagai kelakuan yang tidak diingini yang bersifat seksual, dalam apa jua bentuk.

Ini termasuk tindakan lisan, bukan lisan, isyarat visual atau fizikal terhadap seseorang yang menyinggung perasaan atau memalukan, atau lebih teruk lagi mengancam kesejahteraan mereka. – 8 Mac, 2022.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen