POLIS Bangladesh menahan seorang ulama yang didakwa mengeluarkan fatwa pembunuhan seorang aktivis Rohingya yang ditembak mati tahun lalu di kem pelarian berhampiran sempadan Myanmar, kata pihak berkuasa.
Pembunuhan ketua masyarakat pelarian Rohingya, Mohib Ullah pada September tahun lalu mengejutkan kem yang menempatkan ratusan ribu pelarian yang melarikan diri daripada keganasan tentera Myanmar pada 2017.
Keluarga Mohib menyalahkan Tentera Penyelamat Arakan Rohingya (ARSA), iaitu kumpulan pemberonak di barat Myanmar dan diperayai terbabit dalam aktiviti seludup dadah dan jenayah di kawasan kem pelarian.
Pada Sabtu, polis elit Bangladesh menahan Moulvi Zakoria, dipercayai ketua Majlis Ulama, yang ada kaitan kuat dengan ARSA.
“Moulvi Zokaria mengeluarkan fatwa untuk membunuh Mohib Ullah. Kemudiannya Mohib Ullah terbunuh. Moulvi selepas itu menyembunyikan diri,” kata jurucakap polis Naimul Haque.
Naimul berkata Moulvi dipercayai bercanggah pendapat dengan Mohib.
“Mohib berusaha untuk menghantar pulang Rohingya ke Myanmar. Tetapi tugas ARSA ialah merosakkan disiplin di dalam kem,” katanya.
Pada Oktober tahun lalu, ARSA juga dituduh membunuh enam individu di kem pelarian di tenggara Bangladesh. – AFP, 8 Mac, 2022.
Komen