Rio akhiri arahan pakai pelitup muka


Rio de Janeiro tamatkan arahan pemakaian pelitup muka di dalam bangunan atau di luar, susulan penularan Covid-19 yang mulai perlahan. – Gambar EPA, 8 Mac, 2022.

DATUK Bandar Rio de Janeiro Eduardo Paes mengumumkan bandar itu kini tidak lagi menguatkuasakan peraturan pemakaian pelitup muka di dalam bangunan atau di luar, yang dikenakan sebelum ini bagi mengekang penularan Covid-19.

“Selaras dengan keputusan jawatanuasa saintifik pandemik, kami akan siarkan pekeliling menamatkan syarat pakai topeng pelitup muka ketika berada di dalam bangunan atau luar,” kata Paes di Twitter.

“Apabila kita capai 70% populasi lengkap vaksin dan dos penggalak, kita juga akan menarik balik syarat paspost vaksin.”

Langkah itu menjadikan Rio negeri pertama di Brazil yang menarik balik syarat pelitup muka. Pemakaian pelitup muka di kawasan terbuka di luar bangunan mula ditarik balik sejak Oktober.

Brazil teruk dilanda pandemik, dengan jumlah kematian akibat Covid-19 mencecah lebih 650,000 kes – negara kedua paling terjejas selepas Amerika Syarikat.

Tetapi dengan lebih 72% daripada populasi 213 juta penduduk kini vaksin sepenuhnya, jangkitan dan kes kematian mulai menurun.

Purata kematian harian Covid-19, yang sebelum ini lebih 3,000 sehari pada April 2021 ketika kemuncak krisis di Brazil, kini berada pada paras 430 kes.

Di Rio, 83.8% populasi sudah divaksin sepenuhnya, dan 42.3% sudah menerima dos penggalak.

Bandar di tepi pantai itu mempunyai populasi 6.8 juta penduduk, terpaksa menangguhkan pertandingan perarakan carnival yang popular, sepatutnya diadakan minggu lalu susulan lonjakan kes baharu varian Omicron.

Bandar terbesar Brazil, Sao Paulo masih mengenakan arahan pemakaian pelitup muka, dan sedang mempertimbangkan menarik balik arahan itu di kawasan terbuka di luar, mulai minggu ini. – AFP, 8 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen