2 tahun ditutup, Bali sambut pelancong mulai semalam


Pelancong asing tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai di Bali semalam susulan kerajaan Indonesia membuka semula pulau itu, tanpa kuarantin bagi pelancong lengkap vaksin Covid-19. – Gambar EPA, 8 Mac, 2022.

BALI semalam menamatkan syarat kuarantin untuk pelancong yang lengkap vaksin dari lebih 20 negara dan memperkenalkan semula visa ketibaan, selaras dengan pembukaan semula pulau pelancongan Indonesia itu, selepas dua tahun ditutup bagi mengekang penularan Covid-19.

Kelonggaran syarat itu dilaksanakan berikutan jangkitan gelombang Omicron mulai berkurangan di rantau Asia Tenggara itu dan selepas beberapa syarikat penerbangan menyambung semula penerbangan langsung sejak beberapa minggu ini.

“Presiden Joko Widodo bersetuju untuk melakukan percubaan dasar tiada kuarantin bagi pengunjung luar negara ke Bali bermula 7 Mac,” kata Menteri Maritim dan Pelaburan Luhut Binsar Pandjaitan.

Pelancong dikecualikan kuarantin jika lengkap dua dos dan ujian PCR negatif, serta perlu menunjukkan bukti tempahan hotel empat hari.

Visa ketibaan dihentikan dua tahun lalu ketika pandemik mula melanda Indonesia, tetapi kini disediakan semula untuk pelancong dari 23 negara termasuk Australia, Amerika Syarikat, Britain, Jepun dan Perancis.

“Jika percubaan ini berjaya, kita akan laksanakan dasar bebas kuarantin untuk pelancong dari semua negara menjelang 1 April,” kata menteri.

Gabenor Bali Wayan Koster berkata perubahan itu amat penting bagi melonjakkan semula sektor pelancong, yang selama ini menjadi sumber pendapatan utama pulau itu.

Hampir 6.3 juta pelancong asing melancong ke pulau Hindu itu pada 2019, dan jumlahnya merudum selepas Indonesia menutup semua sempadannya bagi melindungi rakyat daripada virus Covid-19. – AFP, 8 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen