Pengundi Cina di Johor boleh lihat melalui pembohongan DAP, kata Nur Jazlan 


Raevathi Supramaniam

Timbalan Pengerusi Umno Johor Nur Jazlan Mohamed berkata DAP menjanjikan pelbagai pembaharuan pada pilihan raya umum lalu namun gagal menunjukkan sebarang hasil. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mac, 2022.

PENGUNDI Cina di Johor tidak lagi mempercayai DAP kerana parti itu gagal meningkatkan ekonomi, kebajikan dan pendidikan masyarakat, kata Timbalan Pengerusi Umno Johor Nur Jazlan Mohamed hari ini.

Beliau berkata DAP telah menjanjikan pelbagai pembaharuan semasa pilihan raya umum lalu tetapi gagal menunjukkan sebarang hasil, sebaliknya menyalahkan tempoh singkat 22 bulan kerana ketidakupayaannya membuat perubahan.

Jazlan berkata pengundi Cina di Johor juga muak dan bosan dengan retorik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Najib Razak yang sama dijaja oleh parti itu.

“Jika orang Melayu berbohong kepada mereka, mereka masih boleh terima, tetapi jika perkara yang sama dilakukan oleh orang Cina, mereka tidak boleh menerimanya,” kata Nur Jazlan pada forum yang diadakan secara dalam talian.

“DAP memberi mereka harapan pada pilihan raya lalu, tetapi mereka tidak membuat sebarang perubahan.”

Beliau berkata pada 2018 ketika DAP berada dalam kerajaan, daripada menjadikan ini lebih baik untuk masyarakat Cina, apa yang mereka lakukan adalah sebaliknya.

“Semasa Lim Guan Eng menjadi menteri kewangan, beliau menghantar Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengejar komuniti perniagaan Cina dengan menyatakan bahawa dana itu semakin kering, jadi ini menimbulkan kemarahan mereka.

“Kemudian apabila melibatkan pendidikan, beliau memotong peruntukan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman. Ini juga menyebabkan masyarakat Cina marah.

“Inilah sebabnya kami mengatakan Cina DAP berbohong kepada orang Cina.”

Pengundi Cina di negeri itu juga mahu Johor kembali ke zaman pasca-Pakatan Harapan kerana ekonomi menunjukkan prestasi yang lebih baik, kata Nur Jazlan.

“Orang Cina mahu keadaan kembali kepada pasca-PH, ke zaman Najib.

“Ramai orang Cina gembira dengan Najib selama 10 tahun, satu-satunya perkara yang mereka tidak gembira ialah 1MDB.

“Itulah sebabnya DAP terus bercakap tentang ini, mereka tidak mempunyai modal lain untuk digunakan terhadap Barisan Nasional, Umno dan Najib,” kata Nur Jazlan.

Menggunakan 1MDB sebagai cara untuk meraih undi juga telah menjadi taktik lapuk, katanya.

“DAP sudah hilang kelebihan, mereka tidak tahu nak cakap apa dan kembali kepada taktik lamanya. Orang ramai juga sudah bosan mendengar tentang Najib dan 1MDB dalam setiap kempen.

“Selain itu, Najib hanya disabitkan dengan SRC International, bukan 1MDB. Mereka sepatutnya merujuk kepada SRC.”

Setelah mendengar retorik lama DAP yang sama berulang kali, Nur Jazlan berkata pengundi Cina kini akhirnya sedar apa yang berlaku.

“Rakyat boleh melihat melalui pembohongan DAP. Sekarang mereka ingin tahu apa yang kerajaan boleh lakukan untuk membantu kehidupan mereka, membuat lebih banyak wang dan bila sempadan dengan Singapura akan dibuka.

“Masyarakat Cina tahu bahawa kali ini mereka tidak boleh mengundi mengikut emosi mereka, mereka perlu memikirkan tentang rezeki, ekonomi dan pendidikan anak-anak mereka,” tambah Nur Jazlan. – 7 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen