Lebih 1.5 juta penduduk larikan diri dari Ukraine


Kira-kira 1,534,792 penduduk melarikan diri dari Ukraine sejak negara itu mula diceroboh oleh Rusia, menurut laman web UNHCR. – Gambar EPA, 7 Mac, 2022.

LEBIH 1.5 juta penduduk melarikan diri dari Ukraine sejak negara itu mula diceroboh oleh Rusia, menurut data terbaru PBB semalam.

Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) merekodkan 1,534,792 pelarian di laman web semalam dengan hampir 166,000 lebih pelarian pada hari sebelumya.

Pihak berkuasa dan PBB menjangkakan aliran itu akan meningkat apabila tentera Rusia terus mara ke Ukraine terutamanya ketika menghampiri ibu negara Kyiv.

“Lebih 1.5 juta pelarian dari Ukraine menyeberang ke negara jiran dalam tempoh 10 hari - krisis pelarian paling pesat berkembang di Eropah sejak Perang Dunia II,” kata Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian Flippo Grandi menerusi Twitter.

Menurut PBB seramai empat juta penduduk mungkin berusaha meninggalkan negara itu untuk melarikan diri dari perang.

Sebelum konflik Ukraine mempunyai lebih 37 juta penduduk di kawasan yang dikawal oleh Kyiv - yang tidak termasuk Crimea yang diilhamkan oleh Rusia atau kawasan yang dikawal oleh pemisah.

Poland

Poland sehingga kini menjadi tuan rumah bagi jumlah pelarian terbesar yang tiba sejak permulaan pencerobohan Rusia.

Secara keseluruhan terdapat 885,303 pelarian di Poland semalam menurut kiraan UNHCR - 129,000 lebih daripada kiraan Sabtu dan 57.7% daripada jumlah yang direkodkan sudah melarikan diri.

Pengawal sempadan Poland berkata mereka mendaftarkan 964,000 pelarian semalam.

Jumlah ketibaan mencapai rekod 129,000 pada Sabtu. Sebilangan besar adalah warga Ukraine tetapi kemasukan itu juga termasuk warga Afghanistan, Algeria, Belarus, India, Maghribi, Nigeria, Pakistan, Poland, Rusia, Amerika Syarikat dan Uzbekistan.

Sebelum krisis Poland sudah menjadi rumah kepada kira-kira 1.5 juta rakyat Ukraine yang kebanyakannya datang bekerja di negara anggota EU.

Hungary

Hungary sudah menerima 169,053 orang atau 11% daripada jumlah keseluruhan dan lebih daripada 12,000 orang daripada hari sebelumnya, menurut UNHCR.

Negara itu mempunyai lima lintasan sempadan dengan Ukraine dan beberapa bandar sempadan termasuk Zahony yang menjadikan bangunan awam sebagai pusat pemindahan di mana orang awam Hungary menawarkan makanan atau bantuan.

Slovakia

Kira-kira 113,967 orang melarikan diri dari Ukraine ke Slovakia atau 7.4% daripada jumlah keseluruhan, kata UNHCR.

Moldova

Kira-kira 84,067 orang atau 5.5% daripada jumlah keseluruhan sudah menyeberang ke Moldova yang dilawati oleh Setiausaha Negara AS Antony Blinken semalam.

Perdana Menteri Natalia Gavrilita semalam menggesa AS untuk menyediakan lebih banyak bantuan kemanusiaan bagi membantu negaranya yang mempunyai 2.6 juta penduduk, salah sebuah negara termiskin di Eropah bagi berdpean kebanjiran penduduk dari Ukraine.

Menurut UNHCR beberapa pelarian meneruskan perjalanan dari Moldova ke Romania atau Hungary bagi bertemu semula dengan keluarga mereka.

Romania

Di Romania UNHCR mendaftarkan 71,640 pelarian atau kira-kira 4.7% daripada jumlah keseluruhan.

Dua kem dibina di mana satu di Sighetu Marmatiei dan satu lagi di Siret.

Di tempat lain di Eropah

UNHCR juga berkata seramai 157,056 orang kira-kira satu daripada 10 rakyat Ukraine meneruskan perjalanan ke negara Eropah yang lain selepas menyeberangi sempadan Ukraine.

Rusia

Bilangan orang yang berlindung di Rusia kekal tidak berubah sekitar 53,000 atau 3.9% daripada jumlah keseluruhan. – Bernama, 7 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen