BRITAIN mengumumkan AS$100 juta lagi untuk membantu Ukraine, kata Perdana Menteri Boris Johnson pada Ahad, sekali gus menjanjikan usaha baharu bagi mengumpulkan pendapat antarabangsa menentang pencerobohan Rusia.
AS$100 juta, yang akan disediakan melalui Bank Dunia, adalah tambahan kepada AS$290 juta bantuan kepada Ukraine, kata satu kenyataan dari Downing Street.
Pembiayaan baharu itu akan digunakan untuk memastikan fungsi utama negara berjalan, tambahnya.
“Walaupun hanya (Presiden Rusia Vladimir) Putin boleh menamatkan sepenuhnya penderitaan di Ukraine, pembiayaan baharu hari ini akan terus membantu mereka yang menghadapi situasi kemanusiaan yang semakin teruk,” kata Johnson.
Pemimpin Britain itu pada Isnin akan menerima kunjungan perdana menteri Belanda dan Kanada, Justin Trudeau dan Mark Rutte dan mereka akan melawat pangkalan Tentera Udara Diraja sebelum mengadakan sidang media bersama.
Pada Selasa, Johnson akan bertemu dengan pemimpin empat negara Visegrad iaitu Hungary, Poland, Republik Czech dan Slovakia.
Mesyuarat minggu ini adalah sebahagian daripada pelan enam perkara yang diumumkan pejabat Johnson pada Sabtu yang direka untuk memastikan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine gagal. – AFP, 7 Mac, 2022.
Komen