Serangan Rusia musnahkan lapangan terbang Ukraine, kata Zelensky


Kementerian Pertahanan Rusia mengesahkan lapangan terbang Tentera Udara Ukraine di Vinnytsia telah dilumpuhkan oleh senjata berketepatan tinggi jarak jauh. – Gambar Facebook, 7 Mac, 2022.

SERANGAN peluru berpandu Rusia telah memusnahkan lapangan terbang awam di Vinnytsia di tengah Ukraine pada Ahad, kata Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky.

“Saya baru dimaklumkan mengenai serangan peluru berpandu ke atas Vinnytsia. Lapan roket… Lapangan terbang itu musnah sepenuhnya,” katanya.

Kementerian Pertahanan Rusia kemudiannya turut mengesahkan serangan itu.

“Pada 6 Mac, sebuah lapangan terbang Tentera Udara Ukraine di Vinnytsia telah dilumpuhkan oleh senjata berketepatan tinggi jarak jauh,” kata jurucakap kementerian pertahanan Igor Konashenkov dalam taklimat video.

Beberapa bandar dan pangkalan udara di Ukraine telah dibom, dibedil dengan peluru berpandu balistik sejak Rusia melancarkan pencerobohan selama 11 harinya.

Zelensky mengambil kesempatan untuk memperbaharui tuntutannya supaya kuasa Barat menguatkuasakan zon larangan terbang ke atas Ukraine bagi menghalang lebih banyak serangan Rusia.

“Setiap hari kami ulang: tutup ruang udara Ukraine. Tutup untuk semua peluru berpandu Rusia, untuk pesawat tempur Rusia, untuk semua pengganas mereka,” katanya.

“Jika tidak, jika anda tidak beri kami sekurang-kurangnya pesawat supaya kami dapat melindungi diri kami, hanya ada satu perkara yang perlu disimpulkan; anda mahu kami dibunuh dengan perlahan.” – AFP, 7 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen