TikTok gantung siar video baharu dari Rusia


Gergasi media sosial TikTok mengumumkan yang ia menangguhkan penyiaran semua kandungan video dari Rusia bagi mematuhi undang-undang berita palsu baharu Moscow. – Gambar EPA, 7 Mac, 2022.

GERGASI media sosial TikTok mengumumkan ia telah menangguhkan penyiaran semua kandungan video dari Rusia bagi memastikan pekerjanya selamat dan mematuhi undang-undang berita palsu baharu negara itu.

“Berdasarkan undang-undang baharu berita palsu Rusia, kami tidak mempunyai pilihan selain menggantung penstriman langsung dan kandungan baharu kepada perkhidmatan video kami sementara kami menyemak implikasi keselamatan undang-undang ini,” kata syarikat itu dalam ciapan di Twitter, menambah perkhidmatan mesej dalam aplikasi tidak akan terjejas.

“Kami akan terus menilai keadaan di Rusia untuk menentukan bila kami boleh menyambung sepenuhnya perkhidmatan kami dengan keselamatan sebagai keutamaan kami.”

Presiden Rusia Vladimir Putin pada Jumaat menandatangani rang undang-undang yang memperkenalkan hukuman penjara sehingga 15 tahun kerana menerbitkan berita palsu mengenai tentera Rusia, ketika Moscow meneruskan pencerobohannya ke atas Ukraine.

Undang-undang itu mendapat tindak balas pantas daripada pengkritik, namun pada hujung minggu, Kremlin mempertahankan undang-undang baharu itu, berkata negara sedang menghadapi perang maklumat yang memerlukan tindakan balas.

TikTok, dengan satu bilion penggunanya di seluruh dunia, telah membantu merevolusikan media sosial dan cara artis ditemui.

Dalam bebenang di Twitternya, TikTok menggambarkan dirinya sebagai “saluran untuk kreativiti dan hiburan yang boleh memberikan sumber kelegaan dan hubungan manusia semasa zaman perang apabila orang ramai berhadapan tragedi dan pengasingan yang besar.”

Dalam kenyataan yang lebih panjang di laman webnya, syarikat itu membincangkan perang yang “menghancurkan” di Ukraine yang, selain membawa penderitaan meluas di seluruh negara, telah “membawa kesakitan kepada komuniti kami dan rakyat kami.”

“Dan sebagai platform, perang ini telah mencabar kami untuk menghadapi persekitaran yang kompleks dan berubah dengan pantas sambil kami melihat untuk menjadi kanvas, tingkap dan jambatan kepada orang di seluruh dunia.”

Tambah TikTok, ia mengiktiraf “risiko yang meningkat dan kesan maklumat yang mengelirukan semasa krisis,” dan berkata ia sedang berusaha meningkatkan langkah keselamatannya. – AFP, 7 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen