GERGASI penstriman Netflix telah menggantung perkhidmatannya di Rusia sebagai protes terhadap pencerobohan Moscow ke atas Ukraine, lapor media Amerika Syarikat (AS) pada Ahad.
Syarikat berpangkalan di AS itu telah pun menghentikan pemerolehannya di Rusia awal minggu ini, serta pengeluaran programnya.
“Memandangkan keadaan ketika ini, kami telah memutuskan untuk menggantung perkhidmatan kami di Rusia,” kata seorang jurucakap kepada majalah Variety.
Ketika dihubungi AFP, Netflix tidak segera memberi sebarang komen.
Netflix merupakan platform penstriman terkemuka dunia, dengan 221.8 juta pelanggan pada akhir tahun 2021.
Namun ia adalah pemain kecil di Rusia, di mana ia mempunyai kurang daripada satu juta pelanggan, menurut The Wall Street Journal.
Netflix menyertai beberapa syarikat yang telah mengumumkan penggantungan operasi atau penarikan diri secara langsung dari Rusia sejak pelancaran serangan Moscow di Ukraine pada 24 Februari.
Pada Isnin, Netflix memberitahu laman web Vulture ia tidak berhasrat untuk mematuhi undang-undang Rusia yang memerlukan platform penstriman menawarkan beberapa saluran percuma, beberapa daripadanya dianggap sebagai saluran propaganda kerajaan, mulai awal Mac. – AFP, 7 Mac, 2022.
Komen